Anwar dan anak semua bangsa



Oleh: ROSLI KHAN |“Politik itu juga sastera. Dengan tidak mencintai sastera, anda cuma hidup sebagai haiwan yang sedikit cerdik,” kata penulis terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (1925-2006) dalam buku kedua novel tetraloginya, bertajuk “Anak Semua Bangsa”.

Beliau yang biasa dipanggil Pak Pram seorang sasterawan prolifik, pemikir bangsa, dan penulis revolusioner yang tajam dan digeruni di zamannya.

Pak Pram dipenjara tanpa sebarang perbicaraan oleh Suharto sejak 1965 kerana beliau begitu kritis, dan menjadi banduan solitari yang paling lama di Pulau Buru, Indonesia.

Corak sastera politiknya banyak berkisar tentang pengalaman beliau di tengah-tengah masyarakat bawahan yang ditindas. Beliau bermula dengan penjajahan Belanda ke atas Indonesia, diikuti zaman penaklukan Indonesia di tangan Jepun sepanjang Perang Dunia Kedua, dan pemerintahan kuku besi Suharto dari 1965.

Ketidaksamaan dalam kutipan cukai pertanian, polarisasi kaum, penindasan dan diskriminasi, menjadi tema utama dalam karya-karya Pak Pram.

Perjuangan politik Anwar Ibrahim juga hampir sama. Dia berjuang untuk kaum yang ditindas, bergerak untuk membasmi kemiskinan, dan menolak kronisme yang berlarutan ketika itu. Dia mahukan politik telus dan bertanggungjawab (“transparency” dan “accountability”).

Anwar menyelit sastera politik dengan laungan transformasi untuk rakyat, terhadap pembubaran banyak legislasi kuno, seperti ISA, OSA, dan berbagai lagi. Legislasi-legislasi inilah yang digunapakai oleh pemerintahan Mahathir dan kemudiannya, demi mengekang pembaharuan dan pengembangan minda rakyat.

Mereka bukan saja memenjarakan Anwar tetapi juga menyekat segala pemikiran sastera politik yang akan memerdekakan minda rakyat dan negara, dalam erti kata yang sebenarnya.

Cengkaman inilah yang mahu dibebaskan Anwar.

Mungkin secara kebetulan atau disedari, konsep ‘Anak Semua Bangsa’ ini juga menjadi piagam parti yang Anwar tubuhkan pada 1998, selepas beliau disingkir dari Umno dan terpenjara.

Anak semua bangsa

Partinya, KEADILAN, berbilang kaum dan mencuba untuk memberi kesamaan dan nafas baru kepada semua kaum. Wawasan Anwar ialah melihat anak-anak berbagai kaum, keturunan, latar belakang, dan sudut negara diberi peluang yang sama dalam segala sektor seperti pelajaran dan bantuan kewangan.

Tema ‘anak semua bangsa’ ini menjadi konsep utama dalam kempen Anwar pada PRU15 yang baru berlalu. Menurut Anwar, di situlah terletaknya permulaan kepimpinan bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Sememangnya keadaan di negara kita, agak terpisah dalam kesatuan. Ramai yang berpuak dan kurang memahami antara satu sama lain. Dari awal persekolahan mereka dipisahkan mengikut kaum. Perasaan tertindas dan ditindas dirasai dan ditanami dalam perkauman. Kaum minoriti berpendapat kita sebenarnya tidak ada kesamaan.

Tidak hairanlah, politik tanpa sastera ini bergerak dan menuju ke arah mono-kaum, mono-bahasa, dan mono-budaya yang amat membimbangkan. Hal ini dimainkan pula oleh segolongan ahli politik yang kering pemikiran, semata-mata untuk memancing undi.

Kesamaan dan perlawanan

Seperti Pak Pram yang terpenjara dan diasingkan pemerintah selama lebih tiga dekad lamanya, Anwar berjuang di atas dasar kesamaan selama hampir 25 tahun demi menegakkan idealisme dan reformasi yang semakin pudar.

Adalah amat sukar apabila politik lawan berkisar sekitar kapitalisme yang memanjang, kumpulan elit yang berpengaruh, serta budaya dan sastera negara yang kian terpinggir. Suatu masa lalu, Anwar dianggap seperti cuba untuk menghidupkan kembali unggun api yang hampir mati.

Dari sudut perlawanan, Hadi daripada PAS berkempen di atas konsep rakan parti Anwar, iaitu DAP, parti ‘komunis’.

Anwar memerdekakan minda rakyat
Ada persamaan sewaktu Suharto menuding jari kepada Pak Pram pada permulaan ‘Orde Baru’ di Indonesia dahulu. Isu komunis inilah senjata yang memusnahkan pemerintahan zaman Sukarno dan melonjakkan Suharto. Hampir keseluruhan pengikut berhaluan kiri disingkir dan juga dihapuskan oleh Suharto.

Rakan Hadi, Muhyiddin pula pernah menimbulkan hal ‘agenda Yahudi’, kononnya akan mengkristiankan penduduk. Inilah antara perbezaan besar dalam pemikiran Anwar, Hadi, dan Muhyiddin. Anda tentunya dapat bezakan antara ideologi dan polemik.

Mujurlah kita masih mempunyai media yang bebas. Pemikiran sebegini diberi ruang dan pilihan kepada rakyat. Ia memisahkan ‘pemikir’ daripada ‘pengelamun’. Yang ‘serius’ daripada ‘badut’. Yang ‘memimpin’ daripada ‘dipimpin’.

Agak malang bagi Hadi dan Muhyiddin, konsep ‘Anak Semua Bangsa’ ini kembali hidup dan dipercayai ramai. Konsep ini mulai mendapat tempat dalam hati kalangan pengundi dan mesti dilebarkan kepada semua kaum.

Memerdekakan minda masyarakat mesti diteruskan. Di sinilah bermulanya kepimpinan Anwar yang tergelincir hampir 25 tahun itu.

 
DR ROSLI AZAD KHAN adalah perunding pengangkutan terkenal yang menulis berkenaan ekonomi dan politik Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis yang asalnya disiarkan di portal FMT, ia tidak semestinya mewakili  pendirian rasmi Kartelmedia.

Post a Comment

0 Comments