Manifesto HARAPAN tumpu usaha bina semula negara


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) hari ini membentang manifesto segar dan lebih relevan kepada rakyat Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dengan usaha memulihkan semula ekonomi negara, manifesto  dilancarkan itu menawarkan 10 pelan untuk membina semula Malaysia selepas mendakwa Malaysia kini dibelenggu pelbagai krisis termasuk kemelut kesihatan, pekerjaan, makanan, dan pendidikan.

Ia meliputi isu berkaitan kos sara hidup, membanteras rasuah dan mengukuhkan demokrasi, memperkasakan peluang ekonomi untuk belia dan meneroka sektor kemanusiaan, menyelamatkan generasi yang hilang dalam pendidikan, membina langkah mitigasi bencana dan meningkatkan perlindungan untuk rakyat.

Manifesto itu juga memberi tumpuan terhadap masalah doktor kontrak dan menyediakan kebajikan yang teguh untuk pekerja penjagaan kesihatan, menghapuskan ketidaksamaan jantina dan meningkatkan penyertaan sosioekonomi wanita, memperkasa Sabah dan Sarawak, meningkatkan daya saing semua rakyat Malaysia dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

HARAPAN berjanji usaha melaksana semua perkara itu akan dimulakan segera sebaik gabungan itu diberi mandat oleh rakyat.

"Harapan berazam untuk membina semula Malaysia berikutan kemusnahan oleh gabungan Barisan-Perikatan Nasional sejak 30 bulan lalu..
 
“Dengan kemahuan yang kuat, kepimpinan dan manifesto yang jelas, kita boleh membangunkan semula Malaysia dengan kehadiran  besar pada pengundi hari pengundian pada 19 November.” kata calon perdana menteri gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

HARAPAN tawar usaha bina semula negara
Bagi menjayakan usaha membina semula negara, Anwar turut menggesa rakyat memberi mandat jelas kepada gabungan itu.

"Saya mohon rakyat mengundi kami supaya kami mempunyai majoriti yang jelas selepas PRU15 dan singkirkan kerajaan flip-flopping ini, Kabinet yang kembung dengan 70 menteri dan hentikan pelantikan utusan khas yang dibayar tanpa berbuat apa-apa," tambah Presiden parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu. 

Post a Comment

0 Comments