Anwar terharu Sultan Brunei datang beri sokongan


PERDANA MENTER
I, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar hubungan erat antara Malaysia dan Brunei dapat terus diperkukuhkan.

Perkara itu dinyatakan Anwar susulan Lawatan Khas Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ke negara ini.

"Baginda dan saya berpeluang menilai kemajuan kerjasama sedia ada antara Malaysia-Brunei, di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memanfaat kedua-dua negara.

"Semoga hubungan Malaysia-Brunei akan terus diperkukuh, InsyaAllah," kata Anwar dalam hantaran di laman Facebooknya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pertemuan julung kali antara Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin dihormati itu meluangkan masa hampir sejam dalam pertemuan itu yang diakhiri dengan kedua-dua pemimpin bertukar cenderamata kenangan.

Anwar ketika ditemui media kemudian menyatakan penghargaan kepada baginda Sultan yang menyatakan sokongan kepadanya.

“Kunjungan Tuanku Sultan Brunei sangat mengesan bagi saya. Baginda datang dengan semangat persahabatan dan untuk memberikan support kepada pemilihan Perdana Menteri yang baharu, hanya untuk itu sahaja.

“Baginda datang terus bawa saya ke Seri Perdana, makan tengah hari (dan) terus balik.

“Semangat ditunjukkan Sultan Brunei saya sangat terharu, ini menunjukkan semangat persahabatan luar biasa,” katanya.

Semalam media melaporkan Anwar menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakanda baginda, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.

Anwar nyatakan rasa terharu atas sokongan Sultan
Baginda kemudian memandu sendiri kenderaan jenis BMW dinaiki mereka ke Seri Perdana, Putrajaya.

Difahamkan Brunei adalah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM 8.03 bilion (USD1.94 bilion).

Post a Comment

0 Comments