Anwar Ibrahim, 24 tahun merempuh bayang-bayang hitam


Oleh: HASMI HASHIM |Apabila Anwar Ibrahim dimashyurkan sebagai Perdana Menteri ke-10, cahaya yang selama ini dibenamkan, muncul bergemerlap dengan kuat. Cahaya itu menyuluh sehingga menyilaukan orang yang sebelumnya selesa duduk hidup di dalam gelap.

Ada yang tersentap. Wayar dalam otak mereka, seperti terputus. Tidak berfungsi. Tidak boleh mencerna, apakah yang sebenarnya sedang terjadi?

Anwar disambut bagaikan hero atau pahlawan yang pulang dari medan perang; membawakan kemenangan.

Dia mendapat liputan luas media antarabangsa—tidak seorang pun PM sebelum ini diberi liputan sebegitu rupa. Bahkan, bertali arus pemimpin-pemimpin dunia, dari Timur dan Barat menghubungi Anwar untuk menyampaikan ucapan tahniah. Sama ada secara peribadi, atau dengan kenyataan terbuka.

Di bidang ekonomi dan perdagangan, matawang ringgit mengukuh. Bursa saham rancak, melonjak. Reaksi sedemikian tidak lain merupakan petanda awal mengenai keyakinan dunia terhadap Anwar.

Tugas ke depan, tugas yang berat. Dalam enam bulan ke setahun, PM-X perlu berlari pantas untuk memulihkan ekonomi—di ketika sudah pasti akan ada tuntutan yang tidak munasabah, bahkan keterlaluan, berniat meremehkan atau mensabotaj usaha pemulihan ekonomi kerajaan baharu.

Semua boleh diketis dengan fokus yang jelas, iaitu demi membawa Malaysia ke tahap kejayaan yang tinggi, yang mampu kembali bersaing di persada global, sepertimana yang pernah dicatat ketika Anwar menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri pada 1990-an dahulu.

Kejayaan Anwar ini seakan-akan menjadi kejayaan banyak pihak di peringkat global—bukan sekedar kemenangan penyokong Harapan dan rakyat Malaysia sahaja. Di situlah kemilau cahaya yang menyambar itu, terjadi.

‘Cahaya’ berkenaan selama ini ditutup rapat; ditutup dengan fitnah, cemuhan, dakyah atau propaganda menakut-nakutkan yang tidak henti-henta. Ia dilakukan dengan konsisten sehingga jadi semacam kebiasaan bagi rakyat kita—terutamanya untuk orang Melayu—sampai menerimanya sebagai benar.

Rakyat didesak dan dipaksa, bahkan dalam keadaan tertentu diugut untuk terus mempercayai bahawa manusia yang bernama Anwar adalah lelaki durjana. Bukan jahat yang biasa-biasa, tetapi jahat yang bukan kepalang tanggung.

Langit gelap itu bermula di era Mahathir Mohamad, ketika Mahathir menjadi PM ke-4.

Satu fitnah yang luar biasa jijiknya dilemparkan kepada Anwar—konon Anwar peliwat yang tiada kerja lain, selain meliwat sahaja siang-malam. Watak hitam itu juga kerjanya mencari bini-bini orang, anak-anak gadis atau jenaka untuk ditiduri. Anwar perlu dibayangkan sebagai lembaga hitam yang bergentayangan di malam hari, di pelusuk-pelusuk kampung.

Sejak itu, bertimpa-timpa bayangan hitam diwajahkan kepada sosok bernama Anwar. Dia juga dituduh menjadi agen asing—agen Yahudi, Amerika dan Freemason. Bahkan Anwar juga dikatakan ingin “menjual negara”; seorang yang ‘liberal’, yang menganjurkan kebebasan tanpa akhlak; mahu mengizinkan kahwin sejenis, pro Cina, anti Melayu, dan berhasrat menghapuskan syiar Islam di negara ini.

Sampai dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sekalipun, masih ada beberapa pihak, termasuk pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan nada atau peluru sama untuk memburukkan Anwar.

Kalau Anwar kalah, bererti Keadilan dan Harapan akan kalah. Bererti juga usaha membawakan perubahan, atau Reformasi sekaligus dapat dipatahkan.

Sebelum Anwar mengangkat sumpah, pukul 5 petang, 24 November 2022, Khamis, di Istana Negara; perjuangan 24 tahun ini merupakan sebuah perjuangan merempuh bayang-bayang hitam yang panjang.

Sesabar apa pun Anwar, semaaf apa pun dia, seramai mana pun pemimpin Islam dunia mengenali dan bersamanya, sebanyak mana pun buku yang dikarang, segunung pun ayat-ayat Quran dan peringatan dari hadith Nabi yang dibacanya di setiap acara, dia tetap musuh Melayu-Islam yang tidak boleh diberi peluang sekelumit pun.

Kejayaan mesin propaganda yang digerakan sejak era Mahathir, sukar dinafikan. Mesin berkenaan menjadi sangat berkesan apabila sistem politik dan kenegaraan juga sudah hampir rosak sepenuhnya. Tidak ada yang dapat mempertahankan kemuliaan insan, kecuali tekad dan hati nurani setiap manusia itu sendiri.

Dalam sistem politik dan kenegaraan yang diwariskan oleh Mahathir, orang baik dijadikan jahat; orang adil, diadili; orang bodoh dianggap pandai, orang pandai diperbodohkan; orang bijak dipijak, orang dungu diangkat sebagai ilmuan; orang waras dikatakan gila, orang gila didewakan; orang berbakat dikerat, orang bangsat diangkat; orang sombong terlihat mulia, orang mulia terhina; pemalas berjaya, orang rajin sia-sia; orang lemah jadi pemimpin, orang kuat dilemahkan; pendusta dianggap benar, yang benar didustai.

Semuanya sudah terbalik terbokong. Benarlah seperti kata pujangga Jawa, Ronggo Wasito, zaman sedemikian dipanggil sebagai “Zaman Edan”. Atau, Zaman Gila.

Akan tetapi, apabila cahaya memancar dengan tiba-tiba, kegalapan pun sirna. Di saat halaman tanahair kita menjadi terang benderang, di kala itu jugalah sekian rakyat jelata dapat melihat mana yang hitam, mana yang putih. Mana permata, yang mana pula hanyalah kerikil yang tidak berharga.

Semoga M'sia kembali jadi 'harimau' rantau ini
Kalau ada keinsafan, bangsa ini pasti berjaya. Kalau masih mahu mengembalikan kegelapan, seribu Anwar pun tidak akan mampu berbuat apa-apa.

Jejak 24 tahun adalah perjalanan yang sangat panjang, dengan harga yang sangat mahal—hanya untuk menjadikan kita kembali waras; dengan akal dan pekerti, dengan hati dan budi.

Dirgahayu Malaysia: pertiwi ku jaya sakti!


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Tulisan ini disalin dari siaran di laman Facebooknya

Post a Comment

0 Comments