Amanah bakal laksana 'post -mortem' cari kelemahan


 PARTI Amanah Negara (Amanah) bakal menjalankan post-mortem (bedah siasat) terhadap prestasi parti itu yang kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke=15 (PRU-15) lalu.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, antara yang akan diperhatikan adalah kelemahan-kelemahan yang ada sehingga menyebabkan parti itu gagal mempertahankan beberapa kerusi Parlimen termasuk di kawasan dianggap sebagai kubu kuat mereka sebelum ini.

"Kita akan menjalankan post-mortem untuk melihat punca-punca atau masalah yang dihadapi semasa pilihan raya. Post-mortem akan dibuat segera selepas selesai bentuk kerajaan.

"Mesti ada faktor perlu dikenal pasti antaranya calon, jentera, strategi atau sumber. Berdasarkan itu baru kita boleh kembali bertanding terutama pilihan raya di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan tiga negeri PAS.

"Ada negeri nekad dibubarkan awal kerana 'mood' (pilihan raya) tengah ada, itu tidak dinafikan dan  kita perlu cepat bersedia ke arah itu," katanya.

Mohd Hatta sebelumnya hadir pada majlis bersama petugas PRU15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat pada Sabtu.

Hadir sama, ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching dan ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

Amanah akan perbaiki kelemahan
Pada PRU lalu Amanah meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara namun, parti itu walau bagaimanapun hanya dapat mempertahan lapan kerusi .

Mohd Hatta bersama Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Datuk Mahfuz Omar; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Asmuni Awi tewas dengan pesaing masing-masing.

Post a Comment

0 Comments