Anwar beri dua minggu untuk teliti isu subsidi


PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi meneliti dan memperincikan isu berkaitan subsidi untuk rakyat miskin.

Bercakap pad sidang media di Putrajaya hari ini, Anwar berkata pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar bagi  memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan menikmatinya dan tidak diambil kesempatan oleh golongan kaya dan industri.

“Saya beri tempoh dua minggu untuk mencerakin, menyelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk meringankan beban rakyat miskin.

“Saya tidak ada masalah dengan subsidi untuk rakyat, (namun) subsidi harus bersasar, jika tidak harga minyak sebagai contoh, dimanfaatkan oleh golongan miskin dan kaya,” katanya.

Terdahulu Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

Hadir sama dalam mesyuarat itu, Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Selain itu, mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus turut serta dalam mesyuarat tersebut.

Subsidi mesti sampai kepada golongan memerlukan


Anwar dalam sidang media tersebut juga menzahirkan ucapan bangga dan berterima kasih atas komitmen penjawat awam terbabit yang sanggup menghadiri mesyuarat walaupun dalam notis singkat.


“Saya zahirkan kebanggaan saya sikap penjawat awam yang sering kali tidak dihargai masyarakat,” katanya sambil menyifatkan komitmen ditunjukkan itu sebagai satu permulaan baik.

Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 sebelum ini menegaskan  bahawa isu kos sara hidup akan menjadi keutamaan kerajaan dipimpinnya.

Post a Comment

0 Comments