Wakil rakyat berlagak tuan


Oleh: FAISAL TEHRANI | Pilihan raya umum sesebuah negara kebiasaannya menjadi petunjuk utama kepada sihat uzurnya demokrasi sesebuah negara. Untuk sesetengah negara, oleh sebab sistem demokrasi itu sangat elok meriah, pilihan raya bahkan sering dirujuk sebagai pesta dan ‘temuduga’ untuk memilih pekerja yang akan berkhidmat untuk kita sekalian, rakyat.

Dalam erti kata lain, dalam pilihan raya, rakyat atau pengundi keluar memilih pihak atau orang yang akan menghambakan dirinya buat kita. Betul, Wakil Rakyat pekerja kita yang kita pilih atau pecat lima tahun sekali ketika pilihan raya. Mereka bukan tuan kita. Hal inilah yang terbalik di negara kita. Wakil Rakyat pula berlagak tuan.

Mereka yang diundi iaitu Wakil Rakyat nampaknya berlagak bos serba-serbi manakala pengundi yang memberikan kerja kepada Wakil Rakyat ini pula dipermain-mainkan sewenang-wenang. Sebagai contoh, pilihan raya, saat kita memilih ‘Wakil’ atau pihak yang akan bekerja buat kita; nampaknya boleh ditentukan bila masanya oleh orang yang kita pilih. Betapa kelirunya!

Sepatutnya, kita rakyat yang memilih mereka yang berhak menentukan masa; bila patut berlakunya pesta demokrasi itu. Wakil Rakyat, iaitu pekerja buat kita ini, mestilah memudahkan kita yang merupakan bos mereka. Kalau kita tidak mengundi mereka, Wakil Rakyat ini kehilangan mata pencarian, malah mereka tidak dapat membesarkan kediaman dan rumah, membeli barangan mewah, menggemukkan anak bini mereka.

Wakil Rakyat bergantung kepada kita. Bahkan kitalah yang boleh menghukum mereka jika kerja mereka itu tidak bagus. Jika ada ibu bapa kita di desa yang merasakan Wakil Rakyat ini tuan, atau tuhan, silalah gemparkan ibu bapa itu dan beritahu bahawa yang memilih adalah majikan, dan yang dipilih sekadar pekerja.

Hari ini punyalah keadaan menjadi keliru, kita rakyat dipermain-mainkan. Sudahlah kita dibiar berteka-teki bila masa pilihan raya itu, demikian rakyat dianjingkan ia menjadi penentuan oleh hanya lima orang individu. Maka kita rakyat mendapat kesulitan angkara lima orang ini. Rakyat yang ingin mengundi iaitu memilih pekerja selama lima tahun ini terpaksa berteka-teki bila pilihan raya ini sedangkan kita ada urusan lain. Kita ada kenduri-kendara ingin diatur, atau ada yang ingin ke luar negara menunaikan umrah atau bercuti, ada pula yang mengira-ngira untuk pantang bersalin di mana. Padahal penentuan masa itu milik kita, yakni pemilih mereka yang akan berkhidmat. Kita tuan, yang mencari kerja itu calon-calon parti bertanding. Bukannya terbalik.

Negara ini milik kita bersama. Bukan sang individu yang empunya. Bayangkan kita tuan sebuah syarikat, mencari 222 orang pekerja yang boleh berkhidmat selama lima tahun secara kontrak. Kita sebagai tuan patutlah mempunyai kuasa dan wewenang untuk menentukan bila masanya ‘temuduga’ atau pilihan raya akan berjalan. Sebaliknya pula yang berlaku di negara ini, orang yang ingin digaji pula yang mengada-ada. Mereka malah menyulit dan melecehkan kita. Mereka membuatkan kita berteka-teki bila masa untuk ‘temuduga’ ini.

Kita pula dipaksa mengikutkan kehendak pekerja ini. Mereka malah memilih ‘temuduga’ pada masa yang paling tidak selesa untuk kita pengundi, iaitu yang akan menggajikan mereka ini. Mereka ingin melakukannya dalam hujan, dalam ribut petir, dalam badai dan bah.

Mengapa pula sang pekerja kita ini – namanya ‘Wakil’ Rakyat – boleh berlagak tuan? Di manakah salahnya sistem ini apabila mereka berlagak seperti tuan malah seperti raja. Lebih teruk, mengapa kita selaku tuan mereka pula yang harus akur dengan kelakuan mereka ini? Padahal Malaysia bukan mereka punya.

Pilihan raya di negara ini masih banyak kepincangan. Sebagai contoh parti yang memenangi PRU13 menguasai 133 kerusi tetapi dari segi perhitungan peratus undi hanya beroleh 47.3% undi. Dalam erti kata lain, ada 52.6% undi memilih pekerja atau parti yang lain. Tetapi 52.6% undi popular ini diterjemahkan dalam bentuk 89 kerusi di Dewan Rakyat.

Lebih aneh hari ini, lima orang yang menentukan bila masanya pilihan raya itu datang dari parti yang hanya memiliki 38 kerusi dari keseluruhan 222. Mereka yang sedikit ini berlagak tuan bukan main. Padahal yang tuan kita rakyat.

PRU15 sangat penting untuk kita rakyat memilih pekerja yang cekap dan baik. Kita pengundi selaku majikan memerhatikan dengan penuh dendam Wakil kita yang ponteng kerja padahal berkopiah berjubah serban. Kita pun memerhatikan dengan penuh dendam Wakil kita yang mengkhianat mandat yang kita berikan dengan melompat seperti katak. Kita memerhatikan dengan penuh dendam Wakil kita yang korup, merasuah dan malah ada yang pernah dijatuhi hukuman penjara. Kita pun memerhatikan dengan penuh dendam Wakil kita yang sekadar pandai berkhutbah menggula-gula ayat suci. Kita memerhatikan dengan penuh dendam Wakil kita yang membesarkan perut, menggemukkan anak bini, meninggikan kediaman serba mewah manakala kita sebagai tuan atau majikan terbiar melarat. Kita telah pun memerhatikan dengan penuh dendam Wakil kita yang menyangak dan merompak duit kita, duit rakyat, iaitu tuan negara ini.

Memang ada Wakil Rakyat yang berbuat baik dengan kita bila dekat masa ‘temuduga’ atau pilihan raya itu kembali. Wakil Rakyat tahu itu. Mereka cuba membeli jiwa kita. Mereka bodek mengampu. Ada yang cuba membeli undi kita. Malah ada yang cuba mencari jalan agar pilihan raya yang sedia pincang ini terus memihak kepada mereka.

Gaji pemimpin dibayar guna wang rakyat
Akan tetapi ingat ya, kita rakyat adalah tuan. Kita tuan. Mereka yang bernama ‘Wakil Rakyat’ atau yang kita gelar YB itu pekerja kita. Kita yang menentukan dan menggajikan mereka. Kalau kita selaku majikan memilih pekerja bebal, maka yang akan rosak kembali adalah kita sebagai empunya atau tuan kepada negara ini.

Hal ini bukan susah untuk difahami. Tulisan ini bukan sulit untuk direnungi. Ia memang ditulis untuk diberikan kepada kamu, tuan-tuan atau majikan empunya negara ini – Malaysia.

FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini disalin dari siaran dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia

Post a Comment

0 Comments