Bekalkan Umno Pekan buku Perlembagaan, sindir Anwar



KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Umno Pekan, Pahang dibekalkan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sindiran itu dibuat setelah bahagian Umno itu menamakan Najib Razak yang sedang merengkok dalam penjara sebagai calon BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ya, tapi kita kena hantar (pada) dia buku perlembagaan,” kata presiden KEADILAN itu seperti dipetik media.

Timbalan Ketua Umno bahagian Pekan, Zamri Ramly sebelum ini dilaporkan berkata Najib kekal antara lima calon yang diketengahkan untuk parlimen itu

Dia berkata begitu sebagai menolak spekulasi sebelum ini bahawa bahagian itu akan menamakan dua anak Najib, Nizar atau Nooryana Najwa, bertanding di kerusi berkenaan.

"Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan," katanya seperti dilapor dalam FMT yang memetik Utusan Malaysia.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib yang juga penyandang kerusi itu kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Sementara itu Anwar ketika megulas hasrat mencalonkan Najib pada PRu juga berkata peguam Umno patut menasihati Umno Pekan susulan pendirian mereka itu.

Seorang Pakar Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi dari Universiti Malaya ketika mengulas kes SRC Najib pada Dec tahun lalu berkata seseorang serta-merta hilang kelayakan untuk pencalonan, bertanding pilihan raya atau pelantikan ke mana-mana Dewan jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara setahun atau denda 2,000.

Perkara itu jelasnya diperuntukkan dalam Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam kanan Salim Bashir Bhaskaran dipetik laporan sama memperincikan perkara itu dengan berkata persoalan sama ada Najib boleh bertanding atau tidak perlu dirujuk subseksyen 5 Perkara 48.

"Subseksyen itu mengatakan seseorang yang telah disabitkan bersalah, dia tak boleh menjadi ahli parlimen. tak boleh dicalon, tak boleh dipilih jadi ahli parlimen.

Najib hilang kelayakan berdasarkan Perkara 48(5)


"Itu tertera dalam perlembagaan dan perlembagaan cukup jelas, Perkara 48(5) kata dia tidak boleh," katanya.   


Walau bagaimanapun Najib boleh bertanding dalam pilihan raya sekiranya dia mendapat pengampunan penuh diraja sebelum hari penamaan calon yang dilihat sangat mustahil untuk berlaku.

Post a Comment

0 Comments