NAIB PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nurul Izzah Anwar membidas tuduhan dilemparkan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) bersikap sombong apabila menolak pelawaan berkerjasama.
Bercakap kepada media pada program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Kubang Pasu pada Ahad, Penyandang Parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan bahawa pihaknya harus lebih berhati-hati menyambut sebarang pelawaan kerjasama politik dengan mana-mana gabungan bagi mengelak perkara lama berulang.
Menurutnya, kepentingan rakyat harus diutamakan dan HARAPAN tidak mahu lagi mana-mana pihak meminggirkan agenda tersebut.
“Saya rasa tidak ada isu sombong atau ego. Sebenarnya lebih kepada mahu melindungi kepentingan rakyat. Mudah dan jelas.
“Saya memang orang pertama akan beri ruang tetapi kita harus berhati-hati. Setelah berkali-kali 'dipatuk' sudah tentulah kita mahu teruskan dengan agenda telah ditetapkan. Lebih mudah begitu,” katanya.
Walau bagaimanapun ketika mengulas isu kerjasama, Nurul Izzah berkata, dalam situasi politik hari ini agak sukar untuk mana-mana gabungan mendapat majoriti sepenuhnya untuk membentuk kerajaan.
Selepas pilihan raya, HARAPAN tegasnya mungkin tiada pilihan selain mengadakan kerjasama rentas gabungan bagi membentuk kerajaan dan rakyat perlu memahami situasi seperti itu.
Sehubungan itu beliau menggesa penyokong memenangkan seberapa banyak kerusi Parlimen untuk memastikan mereka ada kedudukan selesa dalam memperjuangkan agenda rakyat, yang harus menjadi prasyarat kepada mana-mana perbincangan kelak.
“Saya lihat momentum sangat baik. Namun HARAPAN harus kerja keras dan pastikan calon yang dipilih mewakili kawasan perlu bertemu seramai mungkin pengundi. Walaupun petanda itu nampak positif, namun perlu berhati-hati juga.
![]() |
HARAPAN perlu menang sebanyak mungkin kerusi |
“Saya harap rakyat faham, kalaulah kerusi yang menang didapati kurang daripada 100 sebagai contoh, mahu tidak mahu itu adalah antara opsyen yang terpaksa kita ambil kira,” katanya dipetik.
0 Comments