Tak bubar DUN, Selangor dan Negeri Sembilan tumpu isu banjir dulu


KERAJAAN Selangor dipimpin KEADILAN mengekalkan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serentak dengan Parlimen.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor,Amirudin Shari selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan semalam.

Mengulas mengenai pertemuan itu, beliau yang juga Pengerusi KEADILAN Selangor memaklumkan ia adalah pertemuan lazim, namun menyentuh beberapa perkara berkait kepentingan rakyat termasuk komitmen kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan banjir di negeri itu.

“Saya telah menyembah maklum komitmen dan persiapan kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor.

“(Termasuk persiapan dalam) usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.

“DYMM Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Tambah Amirudin lagi, beliau kini memberi tumpuan kepada pembentangan Bajet Selangor 2023, namun ia bergantung kepada tarikh pilihan raya umum yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita mungkin akan menunda pembentangan bajet dan akan melihat dari sudut undang undang dan sebagainya kerana tarikh (pembentangan Bajet Selangor 2023) telah ditetapkan pada 28 Oktober dan kita kena tunggu keputusan SPR," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Negeri Sembilan yang juga dipimpin KEADILAN membuat keputusan serupa.

Menteri Besar-nya, Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, beliau berterima kasih dengan syor oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini supaya ketua-ketua kerajaan negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk membubarkan DUN masing-masing.

“Kami tidak dapat mempertimbangkan hasrat Perdana Menteri itu, sebagaimana beliau tidak mempertimbangkan hasrat kami supaya pilihan raya umum tidak diadakan ketika ini,” katanya dipetik.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri itu menegaskan keadaan ketika ini tidak sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) malah beberapa kawasan sedang berlaku banjir.

“Semalam (Isnin) pun berlaku banjir lagi di Kuala Pilah juga di Sabah. Jadi tidak sesuai lah untuk pilihan raya diadakan.

Fokus keselamatan rakyat sebelum bubar


"Kita mahu rakyat turun beramai-ramai mengundi, kerana ia dijalankan lima tahun sekali, tentu kita mahu meraikan demokrasi dalam keadaan yang baik," tegasnya.


Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan negeri dipimpin gabungan itu tidak akan membubarkan DUN serentak dengan Persekutuan bagi membolehkan pemimpin fokus kepada kebajikan rakyat yang kini menghadapi banjir.

Post a Comment

0 Comments