Tak bertanggungjawab desak PRU musim banjir - Ikram

 


GESAAN supaya Parlimen dibubarkan pada waktu ini, ketika negara berkemungkinan berdepan bencana banjir adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, kata Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

Presidennya, Badlishah Sham Baharin ketika mengulas laporan bahawa ada gesaan dari dalam Umno supaya perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob mengusulkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibubarkan berkata, tindakan membubarkan Parlimen secara tergesa-gesa merupakan tindakan tidak wajar.
 
"Melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika rakyat sedang bergelut dengan banjir adalah satu kezaliman yang disengajakan kepada rakyat, malah kerajaan juga akan menanggung kerugian yang besar.

"Ikram berpandangan bahawa kerajaan hendaklah memberi tumpuan kepada menyelesaikan permasalahan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit khususnya berkaitan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup.

"Kepentingan rakyat dan negara perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan," jelas dalam kenyataan pada Khamis.

Pandang Ikram itu selari dengan pendirian ramai pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa isu kepentingan rakyat terutama berkait ekonomi diberi tumpuan berbanding mahu mengadakan pilihan raya.

Majoriti rakyat di media sosial turut menolak PRU diadakan ketika ini memandangkan ramalan banjir melanda negara pada penghujung tahun ini dan awal tahun hadapan.

Namun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang diketahui umum sebagai individu paling kuat mendesak supaya PRU disegerakan membalas saranan itu dengan mendakwa gabungan itu enggan pilihan raya disegerakan telah membuktikan mereka gerun untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15.

Malah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang dilihat sangat terdesak mahu PRU diadakan turut mengkritik rakan-rakannya dalam kerajaan dengan mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) takut hilang jawatan menteri.

Letak kepentingan rakyat lebih utama dari kejar kuasa
Sementara itu Badlishah turut mencadangkan Akta Pendanaan Politik diluluskan sebelum pilihan raya diadakan.

Ia jelasnya bagi memastikan perbelanjaan semasa PRU dapat dipantau dengan tersusun dan mengelakkan gejala rasuah.

"Ikram menyambut baik penguatkuasaan pindaan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti (Akta A1663) yang bermula pada 5 Oktober 2022, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan, Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," ujarnya lagi

Post a Comment

0 Comments