Hutang k'jaan melambung RM100 bilion dalam masa setahun


JAWATANKUASA
Kira-kira Wang Negara (PAC) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan hutang kerajaan persekutuan yang disifatkan terlalu mendadak.

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata, lonjakan hutang sebanyak RM100 bilion hanya dalam tempoh setahun menyebabkan liabiliti keseluruhan kerajaan persekutuan pada 2021 kini berjumlah RM1.298 trilion iaitu 84% daripada KDNK negara.

“PAC bimbang dengan trend peningkatan hutang kerajaan persekutuan yang terus meningkat saban tahun apabila mendapati bahawa hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2021 berjumlah RM979.814 bilion iaitu 63.4% daripada KDNK meningkat daripada RM879.560 bilion pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM100 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Beliau sebelumnya merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung hutang kerajaan pada 2021 berjumlah RM979.81 bilion iaitu 63.4% daripada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dalam sidang media semalam memberi amaran bahawa meminjam wang untuk pembayaran balik baki prinsipal pinjaman matang hanya boleh menjadi langkah jangka pendek dan sementara.

Malaysia tegasnya perlu mencari penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu.
 
Sementara itu Wong dalam kenyataan berkata, walaupun penyata kewangan kerajaan 2021 diberikan Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran, terdapat perkara ditegaskan ketua audit negara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Antaranya, penegasan perkara termasuk bayaran balik pinjaman matang menggunakan pinjaman baharu, pengurangan peratusan perbelanjaan pembangunan, peningkatan hutang persekutuan dan pengiktirafan berbeza dengan prinsip pengiktirafan hasil asas tunai ubah suai,” katanya.

Katanya, pada 2021, kerajaan membuat pinjaman kasar berjumlah RM217.201 bilion peningkatan 11.6% daripada RM194.55 bilion, pada tahun sebelumnya.

Hutang negara kini cecah RM979 bilion


“Sebanyak 52.4% atau RM113.764 bilion digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang,” katanya.

Wong berkata, berhubung pembayaran faedah pinjaman, 16.3% daripada kutipan hasil digunakan untuk tujuan tersebut.

“Maksudnya, setiap RM1 hasil yang dikutip, maka 16 sen adalah digunakan untuk bayaran faedah pinjaman,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments