Tahun 80-an ATM gah, tapi sekarang jadi lubuk 'sakau' - Rafizi


TIMBALAN PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli mendakwa Kementerian Pertahanan menjadi lubuk rasuah mana-mana individu yang berselindung di sebalik pertahanan negara.

Bercakap dalam sesi dialog pengundi muda Ayuh Malaysia bersama Nurul Izzah Anwar di Petaling Jaya , Rafizi menjelaskan atas sebab itu beliau memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kontrak perolehan kementerian itu.

“Pertahanan bukan soal main-main, kita ada ancaman lanun di Sabah, tersepit di Laut China Selatan, tetapi kita juga bukan negara kaya, jadi tak boleh habiskan banyak peruntukan.

“(Namun) duit (peruntukan) sedikit pun boleh makan berbilion, tetapi berselindung di sebalik pertahanan selama berdekat-dekat sebab itu  kementerian pertahanan jadi lubuk curi duit.

“(Kita) tak tahu berapa bilion yang dibazirkan dalam (tempoh) 20 atau 30 tahun lepas, sebab itu saya tumpu sebab lubuk rasuah adalah Kementerian Pertahanan,” katanya.

Rafizi pada Ogos lalu mendedahkan beberapa perinciaan melibatkan skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk ‘syarikat palsu’ dan ‘jerung’ yang menyeleweng perolehan kapal tempur itu.

Isu penyelewengan itu sebelumnya didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Awal Oktober ini pula Rafizi mendedahkan kepincangan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) membabitkan peruntukan RM854 juta.

Sementara itu pada program sama, Rafizi ketika ditanya sama ada akan ada lebih banyak pendedahan selepas ini berkata, kebanyakan maklumat yang diterima kini masih dalam peringkat semakan pengesahan sekiranya wujud salah laku atau sebaliknya.

Pendedahan jelasnya hanya akan dilakukan sekiranya beliau memperoleh dokumen lengkap, dakwaan berkedibiliti dan melakukan semakan terperinci.

“Orang akan bagi maklumat, tetapi selalunya (akan dedah kepada umum) kecuali saya ada dokumen lengkap, semak kredibiliti pemberi maklumat dan sahkan dengan mana-mana individu yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan.

“Jadi, kebanyakan (maklumat) sekarang masih di peringkat sana sini (semakan dan pengesahan), tetapi dari semasa ke semasa memang dia ada (kelompongan salah laku), cuma persoalannya adalah sama ada lengkap atau tidak.

“Dalam masa sama, saya juga perlu lebih selektif. Saya tak boleh (dedah) semua pada masa sama mahu kempen, tetapi ia ada (salah laku rasuah),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, cara terbaik dilihat untuk mengatasi kepincangan itu adalah dengan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk merombak keseluruhan perolehan pertahanan negara dan mengambil langkah strategik yang lebih terkehadapan.
 
“Kalau tak uruskan betul-betul, memang ada pelobi daripada pembuat senjata besar walaupun prosesnya telus.

Suruhanjaya diraja wajar ditubuhkan


“Sebab itu bagi saya, kita perlukan suruhanjaya diraja yang dianggotai oleh bekas-bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ada semangat cintakan negara.


“Tahun 1980-an ATM antara yang terbaik sebab itu dulu kita selalu dengar ada berita latihan ketenteraan bersama, tetapi sekarang kita tak dengar.

“Orang bawa kereta (peralatan) hebat, tetapi (kita) bawa Proton Saga. Apa yang kita rasa tentang itu?,” soalnya.

Post a Comment

0 Comments