SOP apa nak guna kalau hari mengundi banjir, Bersih soal SPR

 


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa segera mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) dan pelan kontigensi sekiranya banjir melanda ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bersih yang merupakan kumpulan reformasi pilihan raya berkata, wakil suruhanjaya itu mesti diletakkan dalam jawatankuasa pengurusan bencana daerah dan negeri untuk menguruskan prosedur pilihan raya dan memastikan rakyat boleh menggunakan hak demokrasi untuk mengundi tanpa merisikokan keselamatan mereka sekiranya hari undi awal dan hari pembuangan undi biasa berlaku banjir besar.

"Satu proses membuat keputusan menyeluruh bagi membina kesepakatan antara parti apabila keputusan sukar perlu dibuat untuk menyelamatkan nyawa dan mengekalkan demokrasi,” kata mereka dalam kenyataan.

Sehingga semalam kata Bersih, belum ada pengumuman apakah SOP yang akan digunakan.

Mengambil contoh kejadian banjir kilat yang melanda Pulau Langkawi pada 16 Oktober lalu yang telah menjejaskan 30 kawasan penduduk, dengan 38,118 pengundi terkesan dan kejadian ribut yang memusnahkan lebih 60 rumah di tujuh kampung di Besut, Terengganu semalam, mereka menegaskan kepentingan pelan kontigensi itu.

"Sekiranya bencana yang sama terjadi, apakah SOP untuk meneruskan atau menangguhkan pilihan raya di daerah mengundi tersebut, atau lebih parah penangguhan PRU15 di peringkat nasional.

"SPR perlu segera mengumumkan SOP tersebut agar semua pihak terutamanya parti politik, calon dan agensi-agensi yang bertanggungjawab boleh membuat persediaan," kata jawatankuasa Pemandu Bersih.

Mereka turut menggesa SPR berbincang dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenai kemungkinan melanjutkan masa membuang undi, menyediakan pengangkutan kepada pengundi, membina pusat bantuan atau menangguhkan pilihan raya di kawasan yang terjejas sekiranya banjir berlaku.

“Sekiranya tiada persediaan rapi dibuat untuk pilihan raya ketika banjir hingga menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda yang boleh dielakkan serta menafikan hak rakyat untuk mengundi, ia bukan sahaja mendedahkan pegawai SPR dan Nadma untuk disaman kerana cuai tetapi boleh menyebabkan negara terus terjerumus dalam ketidakstabilan politik,” kata mereka lagi.

Sehingga semalam SPR belum keluarkan SOP
Terdahulu, SPR hari ini mengumumkan tarikh PRU15 pada 19 Nov (Sabtu), manakala pengundian awal ditetapkan pada 15 Nov.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 Nov dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menjangkakan taburan hujan yang tinggi dan banjir berkemungkinan berlaku pada pertengahan November yang dilihat tidak sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Post a Comment

0 Comments