Gaji PM dipotong, saiz kabinet kecil jika HARAPAN jadi k'jaan


DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan melakukan pemotongan gaji dan elaun bagi jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Bercakap pada Konvensyen HARAPAN di Ipoh pada Khamis, Anwar yang juga Pengerusi gabungan itu berkata, keputusan itu wajar memandangkan keadaan ekonomi yang semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.

Beliau turut memberi jaminan saiz anggota Kabinet juga akan dikurangkan bagi memastikan wang negara diurus tanpa pembaziran.

"Ini kesediaan saya dan ia tidak mustahil kerana yakin kesedaran rakyat. Kalau mahu Anwar jadi Perdana Menteri, Kabinet mesti dikurangkan, gaji Perdana Menteri dan Menteri mesti dikurangkan kerana kita perlu beri contoh yang baik.

“Rakyat hidup susah, derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tak terkawal, dan kemudahan kesihatan ibu bapa tak terurus.

“Maka biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin oleh Allah SWT,  20 hari bulan saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri itu sendiri," katanya.
 
Beberapa perdana menteri sebelum ini pernah dikritik kerana mempunyai saiz kabinet yang besar selain tindakan melantik pemimpin politik yang menyokong mereka ke jawatan bertaraf menteri.

Mahiaddin Md Yassin pada April 2021 pernah digesa mengurangkan saiz kabinetnya setelah menggesa penjawat awam berwakaf bagi membantu kewangan negara.

Pada Julai tahun ini, pentadbiran Ismail Sabri pula ditegur oleh ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Chee Yee membuat saranan supaya Naib Presiden Umno itu mengurangkan saiz kabinet ditengah-tengah kegagalan kerajaan mengawal harga barang keperluan rakyat.

“Dari (Tun Dr) Mahathir Mohamad turun ke Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). (Muhyiddin) dapat jawatan (perdana menteri), tambah bilangan menteri. Kehidupan rakyat tak terurus.
Anwar turut jamin kecilkan saiz kabinet
“Daripada Muhyiddin dapat kepada kepada Ismail (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), (jumlah) menteri bertambah, Penasihat perdana menteri bertambah.

“Nasib rakyat, entah ke mana juga. Dasar ekonomi tak menentu, pelaburan tak datang, keyakinan (pelabur) tidak ada. Doakan insyaAllah, Dari Ismail sampai kepada Anwar, kita ubah landskap politik dan ekonomi negara kita,” kata Anwar ketika mengulas isu saiz kabinet besar yang tidak menguntungkan rakyat.

Post a Comment

0 Comments