TIMBALAN PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli membangkitkan persoalan mengenai tender perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Melalui perkongsian di laman Facebooknya, Rafizi berkata, isu membabitkan kontrak membabitkan peruntukan RM854 juta.yang dianugerahkan melalui tender secara rundingan terus itu pertama kali muncul pada pertengahan Ogos, tetapi masih tidak dijawab.
Ia jelasnya membabitkan dakwaan campur tangan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya rundingan terus dengan syarikat MA Analytic Sdn Bhd yang tiada pengalaman dalam bidang berkenaan diadakan.
"Belum pun isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) reda, proses perolehan pertahanan negara terus berkecamuk akibat campur tangan pimpinan politik kerajaan yang tidak mengendahkan pandangan dan keputusan pimpinan angkatan tentera.
"Saya sudah mengkaji kontroversi perolehan ini sejak beberapa bulan dan mendapati ada bukti keputusan dibuat di peringkat tertinggi kerajaan membelakangkan spesifikasi dan keperluan angkatan tentera," katanya.
SPH ialah meriam artileri yang digunakan oleh TDM dan diukur antaranya daripada segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi/pengangkutan.
Rafizi dalam hantaran itu turut mendakwa Kementerian Pertahanan (MINDEF) sudah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar perolehan ini dilaksanakan mengikut tender terhad, seperti amalan perolehan kelengkapan pertahanan.
Namun permohonan itu ditolak seperti yang dimaklumkan oleh wakil Bahagian Perolehan Kerajaan, Datin Rosni Mohd Yusoff (bagi pihak Kementerian Kewangan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
MA Analytics Sdn Bhd kemudian menurut Rafizi telah menulis kepada Ismail untuk merayu dalam satu surat bertarikh 21 April lalu.
"Perdana Menteri mencatatkan nota arahannya kepada Menteri Kewangan pada 27 April 2022 seperti berikut: "... YBM MOF, Saya sokong permohonan ini. Sila [......] ambil tindakan segera".
"Pada 25 Julai 2022, Kementerian Pertahanan akhirnya terpaksa akur dengan arahan Menteri Kewangan," kata Rafizi.
Beliau turut melampirkan beberapa salinan surat termasuk surat daripada MA Analytic kepada Perdana Menteri yang merakamkan nota arahan yang menjadi sandaran keputusan MOF mengarahkan ia diberikan kepada syarikatnya.
Rafizi sementara itu berkata semakan terhadap rekod syarikat itu menunjukkan ia hanya ditubuhkan pada 2020, menimbulkan persoalan mengenai pengalaman dan kepakaran mereka.
![]() |
Apakah ada campur tangan luluskan kontrak? |
"Kenapa kerajaan Umno-PAS-Bersatu terus menggadaikan kepentingan pertahanan negara dan kebajikan askar dengan memperjudikan sistem persenjataan di tangan syarikat-syarikat yang tidak ada pengalaman dan rekod?" soalnya.
0 Comments