SEORANG penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim menyifatkan bukan mustahil untuk tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) buat golongan B40 dimansuhkan.
Beliau berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad bahawa gabungan itu mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia lebih baik termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik PTPTN khusus untuk golongan B40.
Berpandangan sememangnya wajar untuk bayaran tol yang telah lama beroperasi dihapuskan, Mohd Faisol bagaimanapun melihat usaha melaksana idea itu bakal berdepan cabaran termasuk dengan pihak yang mempunyai kepentingan dengan konsensi itu.
"Tol yang telah lama beroperasi sewajarnya dihapuskan kerana ia amat membebankan rakyat.
"Umumnya rakyat sudah membayar cukai jalan tetapi terpaksa pula membayar buat kali kedua dan seterusnya jika melalui tol.
"Pemansuhan ini bagaimanapun sedikit sebanyak akan menjejaskan kewangan negara, namun saya percaya mereka sudah mempunyai sumber alternatif lain bagi menggantikan pendapatan yang hilang daripada hapuskan tol-tol terpilih," katanyadipetik laporan Sinar.
Sebagai rekod, cadangan dinyatakan Anwar itu dimasukkan dalam 'SCRIPT-For a Better Malaysia', buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat untuk mentransformasikan Malaysia.
Menerusi buku hasil kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pusat Dasar Postnormal dan Kajian Masa Depan itu antaranya mencadangkan bayaran tol kepada B40 dimansuhkan dengan menyediakan 'Pas Tol' dan pemansuhan bayaran balik PTPTN kepada golongan itu.
Anwar banyak kali menegaskan kewangan negara akan berada dalam keadaan baik sekiranya negara ditadbir dengan telus dan amanah selain berusaha keras dalam melawan rasuah.
Sementara itu Mohd Faisol turut berpandangan sememangnya PTPTN wajar dimansuhkan dan diganti dengan sistem lebih baik seperti yang pernah dilakukan pada tahun 90-an.
Ketika itu jelasnya negara menggunakan kaedah berdasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) dan memunyai kadar caj peratusan bayaran balik rendah dari nilai asal.
![]() |
Bukan mustahil jika ditadbir kerajaan yang betul |
Beliau turut menyifatkan 36 dasar diangkat Anwar dalam buku yang baru dilancarkan itu sebagai perancangan positif sekiranya mampu diterjemah melalui pelaksanaan penuh integriti dan bijaksana.
0 Comments