Ejekan 'PM tepi' tak bagi kesan pada Anwar

PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan gelaran 'PM tepi' oleh sebahagian penyokong Umno dan PAS sedikitpun tidak memberi kesan ke atas dirinya.

Bercakap pada program ceramah Jelajah Rakyat di Bandar Tun Razak pada Isnin, Ketua Pembangkang itu malah berkata,walaupun dilempar dengan pelbagai sindiran, beliau dapat berbangga dengan dirinya kerana tidak mengkhianati atau menyeleweng wang rakyat.

"Dia kata, Anwar tunggu tak dapat...jadi PM tepi.

"Tak apa...aku tepi pun aku tak khianat, tak curi duit orang.. faham tak!" katanya tegas disambut sorakan ramai.

Sebagai rekod, Anwar dijanjikan jawatan perdana menteri bagi menggantikan Dr Mahatir Mohammad seperti dinyatakan dalam perjanjian asal HARAPAN yang dibuat sebelum ini.

Namun janji itu tidak pernah ditunaikan Dr Mahathir apabila Ahli Parlimen Langkawi itu meletak jawatan sebagai perdana menteri secara mengejut pada Feb 2020 yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan HARAPAN.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana menteri sekali lagi terlepas peluang menjadi Perdana Menteri apabila mendapat sokongan majoriti menerusi akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen pembangkang dan wakil rakyat Umno.

Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa menolak selepas diminta memberi jaminan untuk menutup kes mahkamah yang membabitkan dua pemimpin dalam parti Melayu itu.

Sementara itu Anwar dalam ceramah sama turut membidas sikap pemimpin yang tidak berani membela nasib rakyat.

Beliau merujuk keengganan pemimpin bercakap soal membela nasib melayu dan menggunakan ayat Al-Quran bagi mencari sokongan namun gagal menyelesaikan beban ekonomi yang menekan rakyat pada ketika ini.

Pilih pemimpin berani bela nasib rakyat
"Bila bercakap...hidup melayu...hidup 'isle', tapi bila harga barang naik nak runding dengan orang besar, tokey-tokey kaya pun tak berani.

"Jadi saudara kena pilih kerajaan yang ada keberanian berdepan siapa saja untuk membela nasib rakyat," tambah Anwar lagi.