Beberapa kawasan mula banjir, Parlimen bubar minggu ini?


BEBERAPA pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menjangkakan Ismail Sabri Yaakob akan mengusulkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong pada minggu ini.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar dan ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang menjangkakan pembubaran itu akan dibuat sebelum pembentangan belanjawan 2023 yang dijadualkan Jumaat ini.  

“Kesian kat YAB PM (yang amat berhormat perdana menteri) Demi nak jaga hati kawan-kawan perompak Jumaat ini dah nak kena bubar juga parlimen,” kata Mahfuz dipetik laporan Malaysiakini.

Mahfuz menjangkakan pembubaran itu akan dibuat pada Khamis, kerana menurutnya jika belanjawan dibentangkan dahulu, pembubaran parlimen tidak dapat dibuat kerana memerlukan masa untuk dia dibahaskan.

“Jadi saya fikir, dia juga nak mengelak daripada… kalau bentang bajet dulu, kena mengambil masa dua minggu untuk memberi laluan kepada perbahasan (bajet) sebelum dibubar,” katanya.

Ismail yang merupakan Naib Presiden Umno didesak oleh partinya untuk segera membubarkan parlimen.

Banyak pihak sama ada dari pembangkang atau anggota kerajaan berpandangan pilihan raya wajar ditangguhkan sehingga tahun depan memandangkan negara bakal berdepan  Monsun Timur Laut aktif yang boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya banjir besar.

Sebagai rekod, beberapa kawasan dilapor sedang berdepan insiden banjir.

Hujan lebat lebih dua jam pada 10 pagi Ahad menyaksikan beberapa kampung di daerah Pontian dan Kluang mengalami banjir kilat.

Bernama dalam laporannya semalam pula memaklumkan, hujan lebat selama beberapa jam sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Ipoh dilanda banjir.

METMalaysia  dalam laporan media pada 2 September lalu meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada risiko banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
 
Pada Disember pula METMalaysia menyatakan risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah lebih tinggi.
 
Sementara itu tambah Mahfuz, jika parlimen benar dibubarkan dalam masa terdekat, ia akan membazirkan masa sidang parlimen yang sedang membincangkan beberapa rang undang-undang (RUU) yang penting.

“Sepatutnya, sebelum sidang parlimen ini dah bubar. Kenapa perlu panggil sidang parlimen dulu, tiba-tiba kita bubar?

“Ini menunjukkan yang kerajaan tak sensitif. ” katanya.

Kit Siang pula menyifatkan  jika tindakan itu benar dilakukan, seperti penghinaan kepada parlimen yang sedang membincangkan beberapa RUU.

Apakah PRU akan diadakan masa banjir?


“Seorang perdana menteri yang bertanggungjawab tidak patut dengan sengaja menghina parlimen dengan membuat Dewan Rakyat membahas dan meluluskan RUU yang tidak menjadi undang-undang akibat pembubaran Parlimen,” katanya dipetik.


Dalam laporan berasingan,  Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli menjangkakan Parlimen dibubarkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Dalam kenyataan di Twitter, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, masa depan negara kini di tangan kira-kira enam juta pengundi muda dan yang kali pertama mengundi.



Post a Comment

0 Comments