Jalan raya di M'sia tak selamat, ke-12 terburuk - Kajian


 KUALITI jalan raya di Malaysia dilapor merosot sebanyak 5% dalam lima tahun kebelakangan ini, menurut kajian firma pendidikan pemandu, Zutobi.

Berdasarkan kajian bertajuk ‘Worst and Best Roads – US and International Ranking’ itu, Malaysia berada di kedudukan ke-12 sebagai negara yang memiliki kualiti jalan raya yang teruk diantara 59 negara yang terlibat dalam kajian itu.

Tidak sekadar berada dalam keadaan teruk, kajian yang memberikan skor 3.32 mata daripada 10 kepada Malaysia berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, penambahbaikan kualiti jalan raya, kematian jalan raya dan saiz jaringan jalan raya itu turut menyatakan jumlah kematian jalan raya di Malaysia direkod kedua tertinggi iaitu 22.76 bagi setiap 100,000 orang.

“Lebih 22 kematian jalan raya bagi setiap 100,000 orang berlaku di lebuh raya di Malaysia, yang kedua tertinggi selepas Arab Saudi,” kata kajian itu.

Kuwait menduduki senarai teratas sebagai negara memiliki jalan raya paling teruk di dunia diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Negara rantau teluk itu turut kedudukan ketiga paling tinggi kemalangan jalan raya dengan 19 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.

Kajian itu turut menyatakan negara jiran, Singapura memperoleh skor paling tinggi dengan kadar kematian jalan raya paling rendah iaitu 1.69 bagi setiap 100,000 penduduk.

M'sia di tangga 48 daripada 59 negara dinilai
Empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya tertinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59).

Laporan berasingan yang disiarkan Zutobi pada Mei lalu meletakkan Malaysia antara 10 negara paling bahaya untuk pemandu di samping Thailand, India, Argentina, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.
 

Post a Comment

0 Comments