Politik kepura-puraan semasa pilihan raya


 Oleh: ISMAIL HASHIM YAHAYA|  Semasa pilihan raya banyak tindak-tanduk palsu, tidak jujur dan penipuan dapat berlaku semasa berkempen. Maka awaslah wahai pengundi akan ada para pemimpin dan calon yang bertanding dalam pilihan raya yang bernafas dalam politik kepura-puraan.

Seperti zaman- zaman pilihan raya lepas rakyat akan mendapat perhatian yang luar biasa daripada parti-parti yang bertanding terutamanya semasa berkempen. .Ini kerana ia adalah hari rakyat mengundi di mana undian mereka sangat diperlukan bagi menang.

Pelbagai bentuk naratif, cerita, rencana, visi, dan program yang diwacanakan melalui aneka komunikasi politik, semuanya disampaikan ”atas mandat rakyat”. Rakyat kini menjadi watak utama dalam wacana politik pilihan raya.

Perhatikan pada waktu inilah para pemimpin parti-parti politik memperlihatkan wajah dan sikap keprihatinan mereka di hadapan rakyat. Ke ceruk rantau mana sekalipun atau sehingga ke lubang cacing pun jika terdengar ada orang yang memerlukan bantuan, berpusu-pusu para calon dan rombongannya akan datang memberikan pertolongan dan bantuan.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja di depan lensa pemberita, menyuapkan nasi ke mulut orang susah pun sanggup dilakukan.

Apakah yang berlaku pada musim pilihan raya ini diseliputi oleh kepura-puraan untuk menang dalam pilihan raya. Bantuan yang diberikan itu melebihi bantuan semasa bencana banjir.

Kemudian akan keluarlah manifesto yang menyatakan apa yang akan mereka ingin lakukan selepas memenangi pilihan raya. Tetapi pililihan raya ke-14 memperlihat dan membuktikan bahawa segala manifesto akan janji jika menang merupakan cetakan kosong yang indah dikertas atau di kaca skrin, hanya janji manis dibibir, ia tidak memberikan sebarang makna berkesan kepada rakyat.

Selepas pilihan raya segalanya bagaikan debu yang berterbangan dan tidak semua ditunaikan janji.
Jika kata-kata suara rakyat adalah suara keramat janganlah termakan dengan kenyataan tersebut kerana sebaik parti atau gabungan parti-parti menang tiada lagi kekeramatan rakyat melain kekeramatan pemimpin.

Jadi berhati-hati mengundi, jangan termakan dengan taburan wang ringgit, rasuah janji-janji manismu itu kerana ramai juga calon yang hipokrit dan munafik.

Namun masih ramai dalam kalangan rakyat di kawasan parlimen dan negeri yang terperdaya masih mengundi calon yang rasuah dan rendah akhlak dan tidak mewakili rakyat.

Mereka mudah dibeli hanya dengan pemberian wang yang sedikit dan janji-janji bagai menanam tebu ditepi bibir tetapi madu yang telah menjadi tuba selepas keputusan pilihan raya diumumkan dan kemenangan calon yang mereka undi itu.

Apakah sebenarnya perubahan besar yang berlaku kepada rakyat selepas menang pilihan raya? Apa yang pasti ialah perubahan kepada mereka yang menang, perubahan dari kehidupan sederhana menjadi kaya, yang rendah diri di hadapan rakyat menjadi seorang yang ego dan bangga diri, yang berkhidmat menjadi Yang Berhormat (YB), rakyat kembali seperti biasa tiada lagi kedengaran mandat atau kepentingan rakyat.

Pilih pemimpin ikhlas berjuang untuk rakyat
Anda sendiri dapat perhatikan calon yang anda undi dengan kes rasuah, penting puak, keluarga dan kelompok dalam parti, kaya dalam dengan perniagaan mementingkan kroni, kolusi dan nepotisme, membelakangkan rakyat dan berkhianat.

Semasa kempen mereka berpura-pura prihatin terhadap rakyat, korban untuk rakyat dan menjaga kepentingan tetapi bila menang?

Wajarkah para pemimpin seperti ini diundi semula?

ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis , ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.

Post a Comment

0 Comments