Operasi Mossad di M'sia: Anwar mahu penjelasan kerajaan

KERAJAAN dituntut memberikan penjelasan berhubung dakwaan pelaksanaan operasi oleh ejen perisikan Israel (Mossad) Israel di dalam negara baru-baru ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut.

“Saya tuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan mengapa dibiarkan atau dibolehkan operatif tentera yang berpangkalan di Israel iaitu jentera perisikan Israel nampak terus berlegar di sekitar negara kita khususnya di Kuala Lumpur.

“Pada tahun 2018, tatkala Perdana Menteri ketika itu Najib Tun Razak telah dapati seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Palestin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dibunuh dengan kejam oleh operatif Mossad.

“...Apa jaminan keselamatan negara kita kalau masih ada operatif musuh negara kita, Mossad yang berpengkalan di Israel masih berlegar di negara kita,” kata Anwar menerusi video ringkas di Twitternya pada Selasa.

Pada Selasa, sebuah media tempatan mendedahkan mengenai kemasukan ejen daripada agensi perisikan negara Israel yang didakwa bertujuan menculik seorang warga Palestin.
 
Menurut laporan terbabit, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dipercayai ditahan kerana dikatakan terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam responnya terhadap laporan berkenaan berkata, pihak kementerian sedang meneliti dakwaan tersebut.

Bagaimana Mossad boleh jalankan operasi di M'sia
Sebagai rekod, pada 2018, seorang warga Palestin yang juga imam dari negara tersebut ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

Dalam kejadian itu, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW bertindak melepaskan tembakan jarak dekat kepada Fadi yang juga pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), dipercayai merupakan ejen Mossad yang berada di Malaysia.


Post a Comment

0 Comments