PENYANDANG kerusi bagi Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu mempertahankan kerusi itu walaupun ada pertambahan 52 peratus pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Parlimen Seremban bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Lobak dan Temiang beliau berkata keyakinan itu berdasarkan sikap terbuka pengundi Melayu di kawasan itu menerima parti politik selain Umno.
“Secara amnya memang kawasan yang majoriti Melayu sukar untuk HARAPAN, tetapi saya bukanlah baharu berkhidmat di Parlimen Seremban, saya telah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Seremban manakala sebagai ADUN Lobak juga selama dua penggal sebelum itu, jadi saya mempunyai pengalaman lebih 18 tahun politik di Seremban.
“Bagi saya walaupun ada pertambahan pengundi Melayu, tetapi saya yakin bahawa HARAPAN mampu mendapat sokongan pengundi Melayu di Seremban dan Negeri Sembilan kerana pengundi Melayu di sini agak terbuka kepada HARAPAN,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyifatkan peranan jentera adalah sangat penting pada PRU kali ini terutama di Seremban.
Kawasan parlimen itu jelasnya adalah sangat besar dan pihaknya memerlukan ramai petugas termasuk ejen mengundi dan tempat mengundi
"Ada 279 saluran di seluruh Parlimen Seremban, maksudnya kalau setiap saluran saya ada dua orang petugas, saya perlu sekurang-kurangnya 600 orang semasa hari pengundian.
“Disebabkan kawasan ini sangat besar, saya juga memerlukan ramai orang untuk berkempen sepanjang tempoh berkempen termasuk untuk membantu memasang bunting, papan iklan, berjumpa pengundi serta ceramah,” katanya.
Kini politik orang Melayu lebih bersikap terbuka |
“Semua kawasan adalah tumpuan, cuma kawasan Nilai paling ramai pengundi, ada lebih 40,000 orang pengundi dan sudah tentu kami perlu memberi perhatian yang lebih kepada kawasan itu,” kata bekas menteri kabinet itu.
0 Comments