Patriot gesa timbalan menteri letak jawatan

 


TIMBALAN Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz digesa meletak jawatan susulan dakwaan terlibat isu pembekalan meriam artileri gerak sendiri (SPH) howitzer untuk tentera bernilai RM854 juta.
 
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Mohamed Arshad Raji membuat gesaan itu selepas dakwaan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli bahawa syarikat yang melobi untuk mendapatkan tender rundingan terus bagi kontrak SPH itu merupakan kroni Ikmal Hisham.

“Adakah dia (timbalan menteri) terlibat secara aktif dalam mendapatkan kontrak?

"Kemungkinan besar dia pasti sedar sepenuhnya. Lagipun sebagai timbalan menteri, seseorang akan menjangkakan bahawa dia akan cukup bertanggungjawab untuk memeriksa semua aspek sebelum menandakan perjanjian itu.

“Patriot percaya adalah wajar dia meletakkan jawatannya kerana tindakannya salah dari segi moral dan etika,” kata Arshad.

Rafizi sebelum ini berkata, semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendedahkan syarikat, MA Analytics Sdn Bhd yang melobi projek berkenaan dikaitkan dengan anak Ikmal Hisham iaitu Ikmal Hadzlan bin Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Norihan Ayob.

Ikmal walau bagaimanapun semalam memfailkan laporan polis terhadap Rafiz berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan kontrak ketenteraan bernilai RM854 juta.

Dia dalam kenyataan berkata laporan polis terhadap Rafizi dibuat Setiausaha Sulit Kanan, Mohammad Iskandar bagi pihaknya di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Sementara itu Arshad Raji menuntut Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein menjelaskan jika dia menyedari dakwaan kronisme itu.

"Patriot menuntut daripada Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein sama ada dia juga berada tidak tahu atau ia satu lagi kes seperti pepatah 'tutup satu mata'.

"Sekiranya menteri pertahanan tahu mengenainya dan berdiam diri, dia terlibat dalam penipuan besar ini.

"Berapa banyak lagi rakyat patriotik yang bertekad membina negara yang beretika harus bersabar?" soal bekas Brigedier Jeneral angkatan bersenjata negara itu.

Adakah menteri pertahanan sedar isu ini?
Beliau dalam kenyataan turut menyorot bahawa skandal rasuah baru-baru ini yang melibatkan kontrak ketenteraan, yang menurutnya juga mempunyai petunjuk kronisme dan nepotisme.

Justeru menggesa kerajaan supaya lebih serius dalam proses perolehan pertahanan, dan tiada sesiapa pun yang dikaitkan dengan pemimpin politik dibenarkan menjadi pihak kepada mana-mana kontrak kerajaan sedemikian.

Post a Comment

0 Comments