Agong bimbang rakyat terbeban jika PRU musim banjir



YANG DI-PERTUAN AGONG, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilapor bimbang tentang kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kepada rakyat sekiranya ia berlangsung ketika musim tengkujuh.

Perkara itu didedahkan seorang sumber yang berada bersama Seri Paduka Baginda di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) semalam.

"Tuanku bimbang pilihan raya diadakan pada musim Monsun Timur Laut yang akan datang, kerana ia akan memberi beban kepada rakyat.

“Baginda juga menyuarakan harapan agar pihak berkuasa tempatan bersedia dengan baik, dan mengelakkan isu-isu yang tidak perlu dan kesukaran kepada rakyat,” katanya yang enggan dinamakan seperti dilapor Malaysiakini.

Kunjungan baginda ke PRABN diadakan ketika Umno terus mendesak agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen serta-merta bagi memberi laluan kepada PRU15.

Ketika menghadap Seri Paduka Baginda semalam, Ismail dilapor tidak membincangkan isu pembubaran parlimen seperti dispekulasikan sebelumnya.

Sementara itu difahamkan, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam lawatan semalam diberi taklimat mengenai musim Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan dan berlarutan sehingga Mac tahun depan.

Taklimat disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.

Menurut pegawai Istana Negara yang hadir di pusat itu, pihak istana meminta taklimat itu supaya Agong dapat menilai persiapan agensi kerajaan untuk menangani banjir akhir tahun.

Seorang pakar perubahan iklim baru-baru ini turut memberi amaran supaya tidak mengadakan PRU sebelum Februari tahun depan, dengan mengatakan bahawa keadaan banjir semasa musim tengkujuh pada akhir tahun mungkin lebih buruk daripada yang berlaku pada 2021.

Kebimbangan berlakunya banjir ketika pilihan raya diadakan mempunyai asas kuat.

Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan tahun ini disebabkan perubahan iklim yang sedang berlaku, kata Jabatan Meteorologi.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi, Mohd Hisham Mohd Anip melalui laporan Harian Metro semalam menegaskan PRU15 tidak sesuai diadakan ketika monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

“Jika mengambil kira pandangan kami daripada komuniti pengurusan bencana, secara umumnya kami tidak menggalakkan untuk diadakan PRU15.

“Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL akan ada banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir. Oleh itu, dari segi kesesuaian cuaca memang tidak membantu untuk diadakan pilihan raya,” katanya.

PRU musim banjir akan bebankan rakyat


Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno diketahui umum sebagai individu paling kuat mendedak agar PRU disegerakan.


Dalam satu program bersama pemuda BN, Ahmad Zahid berkata jenteranya sanggup meredah banjir untuk berkempen sekalipun PRU kali ini diadakan ketika banjir.

Kenyataan itu dikritik ramai dengan menyifatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak perihatin kepada nasib dan keselamatan rakyat.

Post a Comment

0 Comments