Bajet 2023 perbelanjaan 'demam pilihan raya' - Wong Chen



AHLI PARLIMEN Subang Jaya, Wong Chen menyifatkan peruntukan besar berjumlah RM94 bilion untuk pembangunan yang diumumkan dalam Bajet 2023 bakal “diraikan” kontraktor kerajaan dan taikun.

Wong Chen ketika mengulas pembentangan bajet itu semalam berkata beliau juga menjangkakan kumpulan terbabit akan menjadi penyumbang utama dana politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Peruntukan yang tinggi tahun ini ‘sangat jelas ia satu perbelanjaan demam pilihan raya’.

“Saya pasti ramai taikun dan kontraktor ini akan mengeluarkan buku cek mereka untuk membuat sumbangan politik tidak lama lagi sempena PRU15,” katanya dipetik laporan media.

Ahli Parlimen dari KEADILAN itu turut menegaskan, pada setiap tahun kebiasannya peruntukan untuk pembangunan sepatutnya berada antara RM50 hingga RM60 bilion.

RM369 bilion untuk Bajet 2023 adalah paling besar dalam sejarah dan kerajaan terpaksa membuat hutang RM97 bilion, yang didakwanya sebagai hutang pembangunan paling besar untuk menampung perbelanjaan itu.

Wong Chen dakwa Bajet 2023 gembirakan 'kroni'
“Perbelanjaan ini melebihi kemampuan! Kerajaan berhasrat untuk meminjam RM97 bilion untuk membayar perbelanjaan pembangunan paling tinggi ini,” katanya.

Dipetik laporan sama beliau mempersoalkan apakah kerajaan akan membuat pemotongan subsidi secara aktif tahun depan.

Ini berdasarkan hasrat kerajaan yang mahu mengurangkan perbelanjaan operasi untuk 2023 dengan kira-kira RM12 bilion berbanding 2022.