Bajet 2023: sia-sia bentang jika parlimen bubar sebelum dibahaskan

 


BEKAS Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan pembentangan Bajet 2023 semalam tidak memberi apa-apa makna jika Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, bajet itu sepatutnya direalisasikan terlebih dahulu sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Adakah Bajet 2023 ini akan menjadi satu kenyataan kerana isunya adalah ketidakpastian bila Parlimen dibubarkan.

"Kalau benar bajet ini berorientasikan rakyat, ia mesti diizinkan untuk dibahaskan.

“Kami pembangkang telah berikan perjanjian melalui memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini supaya ada masa cukup untuk Perdana Menteri membina kembali negara, bukan bergelut ataupun menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk Parlimen dibubarkan apatah lagi cuaca seminggu dua ini memang tidak menentu akibat monsun.

“Jadi, bajet ini tidak ada makna sekiranya Parlimen dibubarkan pada minggu depan,” katanya.

Isu pembubaran menjadi topik hangat sejak beberapa minggu lalu, ia susulan tekanan oleh Umno supaya perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.

Ahli Politik pembangkang sebelum ini menyelar sebarang tindakan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memandangkan negara bakal berdepan monsun yang menyebabkan peningkatan risiko banjir.

Luluskan dulu bajet sebelum bubar Parlimen
Pada Khamis, Ismail menghadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, namun isu pembubaran Parlimen tidak dibincangkan.

Seri Paduka Baginda sendiri menurut laporan media bimbang rakyat akan terkesan sekiranya PRU diadakan ketika musim monsun.

Post a Comment

0 Comments