PILIHAN RAYA UMUM ke-15 (PRU-15) bakal menyaksikan Pakatan Harapan (HARAPAN) kembali berkuasa seandainya majoriti pengundi Melayu mengundi kepada parti yang ada hasrat jelas ingin membanteras korup dan rasuah.
Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, sejarah pilihan raya ke-14 lalu telah membuktikan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi perhatian rakyat dan mereka mahu perbuatan merugikan negara itu dihentikan.
Isu yang melingkari negara sejak PRU lalu tegasnya perlu menjadi panduan kepada rakyat negara ini dalam memilih pasukan yang bakal memimpin Malaysia.
"Dalam PRU ke-14, Najib Razak adalah pemain utama sebagai liabiliti kepada Umno. Rasuah dan salahguna kuasa yang jelas terbukti telah pun dipropagandakan sebagai fitnah dan persepsi.
“Ia bukan lagi andaian semata-mata, tetapi terserlah dengan ketara dan telah pun disabitkan oleh Mahkamah,” ujar beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi dan Penerangan HARAPAN Pulau Pinang.
Najib Razak yang merupakan bekas Presiden Umno kini merengkok dalam Penjara Kajang bagi menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu mengekalkan sabitan ke atas kes SRC International dihadapinya.
Najib yang sebelum ini adalah Ahli Parlimen Umno mewakili Pekan didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International, menyusuli perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Selain hukuman 12 tahun penjara, dia juga didenda RM210 juta.
Selain Najib beberapa personaliti berprofil tinggi termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor turut dikaitkan dengan kes Rasuah.
Pada 1 September lalu, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Dia dikenakan hukuman penjara sepuluh tahun dan denda RM970 juta, yang merupakan denda tertinggi pernah dikenakan di negara ini.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula kini sedang dibicarakan atas tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Selain mereka, Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diarah oleh mahkamah untuk membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan dana Felcra. Jangan gadai masa depan anak -anak kita
"Kini terserah kepada majoriti pengundi Melayu sama ada mahu menerima parti yang penuh dengan rasuah atau pun menerima parti yang mahu membanteras serta menolak korup dan rasuah sebagai parti pemerintah menjelang PRU ke-15 kali ini," tambah Dr Zaidi.
0 Comments