Naib Presiden Bersatu keluar parti lepas tak dicalonkan


KECEWA tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini, Naib Presiden Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti serta-merta.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Mohd Rafiq yang merupakan ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu meluahkan rasa sedih kerana segala usahanya di kawasan parlimen itu seperti tidak hargai parti.

Katanya, sebelum ini beliau dijanjikan akan dicalonkan di kerusi Tangga Batu, tetapi kecewa apabila ditawarkan bertanding di Parlimen Bagan Datuk.

“Beberapa hari lepas, saya dihubungi Timbalan Pengerusi Bersatu (Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan tak dicalonkan dan ditawarkan bertanding beberapa kerusi alternatif lain, termasuk di Bagan Datuk yang ditandingi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya rasa sedih segala usaha, khidmat selama enam tahun di Tangga Batu tak dinilai secara adil,” katanya sambil menambah beliau merasakan struktur Bersatu tidak akan dihormati ahli lagi.

Semalam PAS Melaka mengumumkan bakal meletakkan calon di Parlimen Tangga Batu dan Jasin untuk bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) walaupun Mohd Rafiq disebut-sebut akan mewakili PN di kawasan itu.

Rafiq kecewa dan rasa tak dihargai
Rafiq berkata, surat peletakan semua jawatannya dalam Bersatu dan PN sudah dihantar kepada Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Ketika ini jelasnya beliau tidak akan menumpukan perhatian terhadap politik, sebaliknya mahu menghabiskan masa bersama keluarganya.
 

Post a Comment

0 Comments