Kalau nak menang, jaga kesepakatan dalam HARAPAN

 


PENYOKONG Pakatan Harapan (HARAPAN) diingatkan bahawa gabungan itu hanya akan menang melalui perpaduan antara kaum dan kesepakatan kuat antara parti dalam HARAPAN.  

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu dalam satu siri ceramahnya di Kedah berkata pembangkang di negara ini mula menang apabila berlakunya kerjasama antara KEADILAN, PAS dan DAP pada pilihan raya umum 2008.

“Apabila ketiga-tiga bekerjasama sajalah baru kita boleh menang di lima negeri ketika itu,” katanya dipetik.  

Tambah bekas Menteri Pertahanan itu, Umno yang menyedari bahawa kerajaan pimpinan mereka akan jatuh sekiranya perpaduan antara parti politik pembangkang di negara ini semakin utuh.

Beliau kemudian mendakwa Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan gabungan pembangkang berpecah.

“Umno sedar perkara ini. Sebab itu menjelang PRU-13, Umno memberikan banyak wang kepada PAS untuk memecahkan parti itu.

“Nik Abduh mengaku PAS terima duit dari Umno. Haji Hadi marah dan saman Clare (Rewcastle-Brown) apabila Sarawak Report mendedahkan PAS terima RM90 juta dari Umno.

“Tetapi yang berlakunya, dia (Hadi) saman tetapi dia bayar Claire RM1.4 juta untuk tarik balik kes itu. Perkara ini antara paling pelik dalam dunia.

"Sebab apa? Dia tahu banyak perkara akan didedah bila bicara nanti. Jadi dia bayar RM1.4 juta untuk tarik balik kes itu,” dakwa bekas Timbalan Presiden PAS itu.

Mohamad kemudian berkata,  PAS pada Muktamar 2015 mengambil keputusan berpisah dengan DAP dan selepas itu dengan KEADILAN

Menyedari bahawa pembangkang pembangkang mesti bersatu bagi menumbangkan Umno, sekumpulan ahli PAS kemudian meninggalkan parti dan kemudian menubuhkan Amanah.

“Kami tahu kami kecil. Kami tak kuat. Cepat-cepat kita berpaut dengan rakan kita, KEADILAN dan DAP. Maka timbullah Pakatan Harapan,” imbaunya lagi.

Kenangan itu diimbau Mohamad Sabu susulan perselisihan faham antara pemimpin bawahan AMANAH dan DAP dalam menentukan calon mereka di Kedah dan Perak.

AMANAH terpaksa melepaskan kerusi yang mereka tuntut iaitu Parlimen Jerai di Kedah dan kerusi negeri Changkat Jong di Perak bagi sebagai timbal balas untuk DAP memberikan kerusi Parlimen Alor Gajah kepada parti Amanah.

Penyokong digesa jaga kesepakatan
Semalam Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi dipecat keahlian berkuat kuasa serta-merta setelah didakwa mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Sehubungan itu jelasnya semua pihak kini perlu menjaga perpaduan yang dibentuk sekiranya mahu menang dan mengubah Malaysia ke arah negara yang lebih baik dengan rakyatnya yang pelbagai kaum bersatu padu.

Post a Comment

0 Comments