Mufti bimbang Malaysia jadi syurga rasuah


MUFTI
Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsikan rasa terkejut mendengar ucapan “orang politik” berkaitan keperluan menang pilihan raya bagi mengelakkan pertuduhan rasuah.

Berkongsi rasa itu di laman Twitternya, tokoh agama yang sering menyentuh isu politik tanah air itu bimbang sekiranya perkara itu berlaku, negara akan menjadi syurga buat golongan perasuah'.

"Terkesima mendengar, bagaimana secara terang orang politik boleh mengaku tujuan untuk menang PRU adalah bagi mengelakkan kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah.

“Jika itu berlaku, negara ini akan jadi syurga rasuah,"ciapnya.

Mohd Asri walau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus dia merujuk kepada siapa.

Terdahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terpalit kontroversi susulan ucapannya dalam perhimpunan agung tahun MIC pada Isnin lalu.

Pemimpin tertinggi Umno yang sedang berdepan kes di Mahkamah itu menyebut satu persatu kepimpinan BN yang mungkin menghadapi perbicaraan jenayah sekiranya parti itu tewas lagi.

Zahid berkata, antara pemimpin-pemimpin Umno dan BN yang berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa atas kesalahan yang telah dilakukan mereka antaranya Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan; Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein; Presiden MCA  Wee Ka Siong; Presiden MIC, SA Vigneswaran; dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Zahid kemudian mempertahan dirinya dengan menyalahkan musuh politik yang dakwanya telah 'memutar belit' kenyataanya untuk mengelirukan orang ramai, sedangkan kenyataan itu katanya merujuk kepada pendakwaan terpilih.

Sementara itu kenyataan Mohd Asri turut menarik perhatian Veteran DAP, Lim Kit Siang.

Melalui blognya Kit Siang berkata, kebimbangan dilontarkan Mohd Asri itu jelasnya bukti bahawa Zahid telah membuat percubaan lemah untuk menafikan ucapannya ketika perhimpunan MIC itu.

“Saya tidak sedar pula sekiranya Mohd Asri ini dikira sebagai berada dalam kategori “pihak lawan” Zahid dan perkara ini menjadi bukti kuat yang Zahid gagal menjelaskan pengakuan “berterus-terang” dalam ucapan MICnya.

Mohd Asri berkongsikan rasa terkejut
“Saya tidak tahu apakah bentuk tuduhan rasuah atau tuduhan lain yang boleh dibawa terhadap Mohamad, Hishammuddin, Ka Siong, Vigneswaran, atau Saravanan, tetapi Zahid sepatutnya lebih tahu.

“Apa yang membuatkan tuduhan Zahid ini lebih berat adalah apabila mereka berlima ini terus berdiam diri selepas ucapan Zahid yang mengatakan mereka berada dalam “senarai menunggu” untuk dituduh di mahkamah,” kata bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Post a Comment

0 Comments