MAJLIS PRESIDEN Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesahkan bahawa negeri ditadbir gabungan itu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka ketika ini.
Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dicapai dalam mesyuarat hari ini.
“KEADILAN dan amanah mempunyai pendirian sama pada peringkat awal (untuk tidak bubarkan DUN).
"DAP mengambil masa menjelaskan pendirian mereka tapi akhirnya setiausaha agung DAP memutuskan bahawa kita HARAPAN dan tiga negeri HARAPAN akan bersama membuat keputusan menangguhkan pilihan raya negeri supaya tumpuan dibuat menangani permasalahan banjir," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.
Turut hadir pada mesyuarat selama dua jam itu ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo;Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengarah Komunikasi Harapan Fahmi Fadzil.
Susulan kebimbangan banjir pada musim tengkujuh ketika ini, HARAPAN telah memutuskan bahawa negeri yang ditadbirnya tidak akan membubarkan DUN masing-masing sebaliknya akan memberi tumpuan menghadapi bencana.
Walau bagaimanapun DAP Pulau Pinang sebelum ini menyatakan pandangan berbeza dengan berpandangan pembubaran serentak DUN ketika ini akan memudahkan aspek gerak atur logistik selain dapat mengelakkan jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak rendah.
DAP Pulau Pinang kemudian menyerahkan kepada Majlis Presiden untuk membuat ketetapan mengenainya.
Sementara itu dalam sidang media sama, Anwar melahirkan penghargaaan kepada rakan gabungan parti itu di Pulau Pinang kerana menyuarakan pandangan pengundi dan rakyat dan tidak melulu membuat keputusan.
"HARAPAN adalah satu badan yang utuh dan kita berikan ruang perbincangan cukup terbuka, apa alasan kita buat keputusan bersama.
Kepentingan rakyat hadapi banjir tetap jadi keutamaan |
"Kedua, kita mahu jentera kerajaan yang sah dan punyai mandat menumpukan bukan pada pilihan raya atau kedudukan mereka, tetapi sepenuhnya tumpu persiapan dan penyelesaian mengurangkan beban kesukaran hidup mangsa-mangsa banjir," katanya.
0 Comments