Gagalkan usaha kleptokrat kembali berkuasa - Khalid Samad


RAKYAT di negara ini diingatkan bahawa perjuangan menolak golongan kleptokrat yang diusahakan dengan jayanya semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih belum selesai.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad melalui satu kenyataan berkata, perjuangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk bersama rakyat menolak politik kleptokrat telah dikhianati PAS dan BERSATU dan kelompok kleptokrat itu kini ingin berkuasa semula melalui PRU-15.

"Sekiranya budaya politik kleptokrat kembali berkuasa, ia adalah hasil 'kebodohan' PAS dan BERSATU pimpinan Muhyiddin Yassin.

"Tidak ketinggalan dalam persoalan ini adalah Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin. Mereka menghidupkan kleptokrat setelah dijatuhkan rakyat dan HARAPAN," katanya sambil rakyat wajar bangkit menggagalkan usaha golongan itu.

Menyentuh panjang lebar mengenai situasi politik semasa, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam itu berkata, ketika kempen pilihan raya berlangsung kelak, berkemungkinan wajah Ismail Sabri diketengahkan sebagai 'poster boy' calon Perdana Menteri.

Namun beliau mendakwa tindakan itu hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat supaya mengundi BN pada pilihan raya tersebut.

Dakwanya lagi, Presiden Umno Ahmad Zahid tetap akan berada di tempat duduk pemandu (driver's seat) dan menentukan jalan dibuka seluasnya bukan sahaja untuk beliau tetapi juga bekas Perdana Menteri, Najib Razak, agar kembali berkuasa.

Jika itu berlaku jelasnya, negara akan sekali lagi dikuasai golongan kleptokrat.

"Sejak dari awal lagi kehendak Ismail Sabri Yaakob, selaku Perdana Menteri untuk menangguhkan PRU-15 hingga ke tahun depan tidak berhasil. Ini adalah kerana kuasa sebenar tetap berada di tangan Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN). Maka keputusan tarikh PRU 15 diputuskan mengikut kepentingan parti dan peribadi Datuk Seri Zahid.

"Maka episod ini mendedahkan kedudukan sebenar Ismail Sabri, iaitu seorang Perdana Menteri patung atau boneka yang bergerak dan bersuara di atas perintah dan keputusan yang dibuat oleh Umno pimpinan presidennya, Ahmad Zahid," katanya menerusi kenyataan.

Khalid dakwa Ismail Sabri hanya boneka


Sehubungan itu, Khalid menegaskan, rakyat perlu memahami senario berkenaan dan membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya umum akan datang agar  tidak tertipu lagi.


"Mari kita gunakan undi kita untuk menghukum 'perompak dan penyamun' serta rakan-rakan kongsi jenayah mereka dalam pilihan raya umum kali ini untuk selama-lamanya," ujarnya seperti dipetik laporan media. 

Post a Comment

0 Comments