Anwar tak mahu rakyat rasa dikhianati lagi


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa rakyat tidak akan dikhianati lagi sekiranya mandat diserahkan kembali kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bercakap pada program Jelajah Nadi Rakyat di Tapah pada Jumaat lalu, Anwar berkata gabungan berkenaan kini mempunyai pengemudi yang baru dan segala ikrar yang dinyatakan mereka akan diusahakan sebaik mungkin.

"Saya nak bagitahu 60 tahun (BN mentadbir Malaysia) banding 22 bulan (HARAPAN)... Saya bukan nak pertahan 22 bulan, yang baik saya cakap baik, yang tak puas hati, saya cakap tak puas hati.

"Tetapi, chief (ketua) HARAPAN sekarang ini bukan orang lama. Ketua HARAPAN yang cakap janji semua ini (manifesto PRU ke-15) saya - Anwar.

"Saya tidak mahu rakyat rasa dikhianati lagi," katanya.

Tanpa menamakan secara jelas, 'orang lama' tersebut dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohammad yang pernah dilantik perdana menteri ketika gabungan itu memenangi PRU lalu.

Mahathir melalui parti Bersatu diasaskannya menjalin kerjasama dengan HARAPAN menjelang PRU lalu dengan janji menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar.

Walau bagaimanapun janji itu bukan sahaja tidak ditunaikan, Mahathir kemudian bertindak meletak jawatan secara mengejut dan tindakannya itu disusuli tindakan Bersatu keluar dari gabungan itu.

Tindakan beberapa pemimpin kemudian melompat parti akhirnya menyebabkan kerajaan pilihan rakyat itu roboh.

Anwar jamin tak berlaku lagi pengkhianatan
Mahathir sendiri mencipta beberapa kontroversi yang mencalar imej HARAPAN termasuk dengan kenyataan manifesto HARAPAN bukanlah "kitab suci" sehingga ia wajib dipatuhi sepenuhnya tanpa mengira keadaan semasa.

Sementara itu Anwar berkata,  pihak lawan mereka kini tidak lagi mempunyai modal menarik sokongan pengundi selain hanya mampu membuat tohmahan bahawa gabungan tersebut gagal.

"Sekarang BN tak ada modal. Yang dia kata (berulang-ulang) 22 bulan 'hancing' - itu sahaja," kata calon perdana menteri itu.
 

Post a Comment

0 Comments