Oleh: FAISAL TEHRANI | Mungkin Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri kamu selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi, lagipun dia lulusan Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh; mana nak dapat budak sekolah agama jadi PM? Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan menjadikan UMNO parti anti rasuah dan pejuang anti korupsi nombor satu sehinggakan SPRM pun dibubarkan.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia tak akan tamak kuasa, lagipun dia ada bapa angkat berbangsa Cina. Sebab mana-mana Melayu apatah lagi Jawa yang mendakwa punya bapa atau ibu angkat berbangsa Cina, itu tandanya dia tidak tamak. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang gilang gemilang mengatasi Republik Singapura, malah menandingi Amerika Syarikat. Dia ada pelan tersusun untuk membawa Malaysia ke aras tertinggi di dunia mengatasi segala galaksi serba ada di bimasakti. Dia pandai banget. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membebaskan Palestin dan Xinjiang sebab dia Melayu. Dan Melayu ada kesaktian berkilauan yang luar biasa. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan menyalakan obor bahasa di peringkat sejagat sehingga basah lecak katil pejuang-pejuang bahasa dek mimpi basah. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan memudahkan kita semua naik haji dan kuota untuk orang Islam di Malaysia, maka akan mencanak-canak bilangan jemaah terdiri dari pak cik mak cik yang semua akan bebas lalu lalang ke Mekah tanpa sebarang sekatan dan tidak perlu visa apatah lagi pasport pun. Dia intim dengan Arab apa. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membawa Malaysia ke mercu kejayaan kerana dia akan korek Bagan Datoh jadi pelabuhan mengalahkan pelabuhan Keppel di negara jiran. Maka menjunamlah Singapore Dollar berbanding Ringgit. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Betul, ya, mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri rakyat Malaysia tak perlu lagi bekerja di Singapura sebab negara kita akan menjadi negara paling maju di Asia Tenggara dan negara itu akan kalah teruksss. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan beri kita duit selalu-selalu. Sebab dia sering ikut sunnah bosnya dan wang itu adalah segala tuanku. Siapa yang tak mahu duit tunai selalu-selalu. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri harga barang akan turun merudum dan kaki babi bukan lagi 29 ringgit sekilo, atau dagu babi tidak lagi 29 ringgit sekilo. Seronoklah semua Cina. Harga ayam akan segan dan turun macam dulu-dulu. Malaysia akan seronok macam zaman lalu. Tak perlu macai berkuntau mempertahankan beliau di Facebook lagi. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, maka masyarakat India akan dimerdekakan macam orang kulit hitam dibebaskan dari perhambaan oleh Abraham Lincoln. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, kerana magisnya beliau maka orang Sabah Sarawak akan menjadi bermaruah belaka dan semua yang lelaki menjadi terkenal dan kacak persis Henry Golding. Pak cik mak cik mungkin tak kenal Henry, tapi kak long kenal dia. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri Malaysia akan stabil macam stabilnya Bagan Datoh sejak 1995 kerana jika tidak percaya tanyakan 18,909 pengundi Zahid pada tahun 2018. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi.
Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri Malaysia nama negara kita akan kembali pulih dan bersih lantas dikenal seantero alam, sebagai rahmat lil alamin; tentu tak malu lagi kita menghantar pemimpin yang rajin keliling Kaabah ke serata dunia. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan membanteras rasuah dan korupsi, berselawat perdana maklumnya.
Mungkinkan Zahid jadi PM jika BN menang? |
Kalau kamu bercakap dengan orang parti, mereka akan kata mungkin Ahmad Zahid Hamidi jadi Perdana Menteri, majoriti Zahid ketika PRU14 hanyalah 5,073 undi. Kalau kamu bercakap dengan orang yang tak mahu mengundi, mereka itu maknanya suka Ahmad Zahid jadi Perdana Menteri. Bukan main-main komedi. Mungkin bila Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri dia akan menjadikan UMNO parti anti rasuah dan pejuang anti korupsi nombor satu sehinggakan SPRM pun dibubarkan.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini disalin dari siaran sebuah portal dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia
0 Comments