DISEBALIK kritikan banyak pihak supaya Parlimen tidak dibubarkan ketika negara dijangka akan berdepan musim perubahan monsun, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakon hari ini membuat pengumuman rasmi bahawa Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada 3 petang hari ini, selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan hari ini, 10 Okt 2022,” katanya dalam perutusan khas.
Susulan pengumuman itu, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari seperti terkandung dalam Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan
Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh untuk penamaan calon, hari mengundi serta urusan lain.
Tindakan pimpinan tertinggi Umno yang menekan Ismail supaya segera membubarkan Parlimen bagi memastikan pilihan raya dapat diadakan tahun ini juga ditempelak banyak pihak termasuk dari kalangan rakyat.
Mereka menyatakan kebimbangan pilihan raya itu bakal bertembung dengan keadaan banjir susulan perubahan monsun.
Pemimpin pembangkang berkata, jika keadaan itu terjadi, ia hanya akan menyusahkan rakyat dan pengundi, sedangan dengan temoh berbaki sehingga tahun hadapan, kerajaan sewajarnya melaksana usaha menyelesaikan isu rakyat terutama berkaitan kenaikan harga barang.
Kebimbangan pilihan raya bertembung dengan keadaan banjir turut menarik perhatian Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)
Timbalan Ketua Pengarahnya (Strategik dan Teknikal), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam laporan media pada Khamis lalu menegaskan PRU-15 tidak sesuai diadakan semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
![]() |
Apakah peratusan mengundi PRU-15 akan rendah |
"Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL akan banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir.
"Oleh itu, dari segi kesesuaian cuaca memang tidak membantu untuk diadakan pilihan raya kerana kita banyak bergantung kepada keadaan cuaca," tegasnya.