PRU musim banjir, Umno nak tambah beban rakyat?


SEORANGAhli Parlimen menyelar hasrat Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertegas agar Parlimen segera dibubarkan bagi mengadakan Pilihan Raya termasuk ketika musim banjir.

Chang Lih Kang (HARAPAN-Tanjung Malim) berkata, beberapa kawasan kini sudah menunjukkan bencana banjir akan melanda dan sudah tentu pilihan raya ketika ini hanya akan menyusahkan rakyat.

Bukan sahaja alasan diberikan kononnya pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil sama sekali tidak ada asas. Umno yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini katanya langsung tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan bagi membantu rakyat.

“Kejatuhan mata wang pada paras yang parah menunjukkan kualiti pemimpin daripada Umno baik sebagai perdana menteri dan juga menteri kewangan.

“Apa yang diulas hanyalah memberi kenyataan kononnya situasi tidak akan bertambah buruk tanpa mengumumkan sebarang dasar dan langkah yang konkrit untuk memulihkan ekonomi negara,” kata Naib Presiden KEADILAN itu dalam satu kenyataan.

Zahid sebelum ini berkata PRU amat penting diadakan sekarang bagi menyelamatkan negara, namun ada pihak yang mengaitkan desakan itu dengan kes Mahkamah dihadapinya.

Menjadikan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan tahun depan sebagai hujahnya, Zahid berkata Malaysia memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kukuh untuk melindungi Malaysia daripada impak buruknya.

Ironinya, Umno yang menjadi sebahagian dari kerajaan bersama Bersatu dan PAS selepas langkah Sheraton gagal memainkan peranannya dalam memastikan kerajaan berada dalam keadaan stabil bersama rakan sekutunya yang lain.

Ia dapat dilihat apabila beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan susulan perebutan kuasa.

Tekanan Umno kepada Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden Umno supaya parlimen segera dibubarkan turut menyebabkan rakyat berada dalam keadaan resah, tambahan lagi ketika mereka berdepan isu kenaikan harga barang yang menekan ekonomi mereka.

Janganlah rakyat ditimpa dengan beban
Sementara itu dalam kenyataan sama Chang mendakwa bahawa perdana menteri sekarang hanya dijadikan seperti ‘budak suruhan’ kepada segerombolan pihak yang rakus mahu berkuasa.


“Sewajarnya Umno bermuhasabah dan insaf dengan penyelewengan yang dibuat semasa pernah menjadi kerajaan.

“Malangnya, Umno parti yang tidak pernah insaf dan rakyat perlu bangkit dan menghukum mereka,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments