BEKAS MENTERI pendidikan, Maszlee Malik mendedahkan golongan guru lebih bebas bersuara tanpa bimbang dikenakan tindakan pada era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).
Beliau berkata begitu sebagai mengulas isu guru matematik, Mohd Fadli Salleh yang berdepan tindakan tatatertib termasuk risiko dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana kerap kali menegur silibus aras tinggi bagi subjek matematik sekolah rendah yang dakwanya membebankan murid.
Tambah penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam itu lagi, ‘Cikgu Fadli’ sebenarnya sudah lantang bersuara ketika eranya menjadi menteri pendidikan, selain ramai lagi guru yang bersuara demi kepentingan bidang pendidikan negara.
“Di zaman kita bersama ketika saya di KPM kita tidak pernah mengambil tindakan demikian rupa kepada para guru yang bersuara, malah Cikgu Fadli pun lantang bersuara di zaman saya.
“Kita terlibat dengan mereka, jadi kawan, undang ke pejabat bukan beliau sahaja, malah ramai lagi yang lain kerana itu yang kita perlukan,” katanya dalam hantaran di TikTok.
Cikgu Fadli mendedahkan sebelum bersuara di media sosial, beliau terlebih dahulu menggunakan saluran disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun tiada respon.
Beliau kini mempersoalkan mengapa beliau mahu diambil tindakan oleh KPM hanya semata-mata bercakap jujur demi kepentingan pelajar.
"Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengar luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji-puja sahaja,” katanya.
Hari ini bekas menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin memberi reaksi kepada kes membabitkan Cikgu Fadli.
Aduan Cikgu Fadzli sebelum ini tak dipeduli? |
Maszlee sementara itu mengingatkan pemimpin dan pihak pengurusan tertinggi dalam kementerian bahawa sekiranya ada guru mengeluarkan pandangan, ia perlu didengari.
“Bila guru-guru mengeluarkan isi hati mereka dan juga isi hati para ibu bapa, kita sebagai pembuat dasar dan kerajaan perlu mendengarnya,” katanya.
0 Comments