PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mempertahankan kerusi Port Dickson yang dimenanginya dengan majoriti selesa pada 2018.
Ketika mengumumkan akan bertanding kerusi parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Presiden KEADILAN itu berkata kali ini beliau tidak akan memilih kerusi selamat, sebaliknya memilih risiko bertanding di kawasan baharu.
"Saya tidak memilih kerusi mudah yang jamin majoriti besar. Saya ketua, saya berani mengepalai dan tawan Tambun dalam PRU15.
"Perak akan menjadi barisan hadapan perjuangan dalam pilihan raya kali ini. Saya akan berlabuh di Tambun," katanya sambil mengucapkan selamat tinggal kepada Port Dickson.
Sebagai rekod, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 2018 yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, Anwar menang besar dengan majoriti 23,560 undi.
Sementara itu Anwar berkata, gabungan itu mahu mengangkat martabat negeri Perak yang ada potensi serupa untuk maju seperti Pulau Pinang atau Selangor.
"Saya mahu Perak diangkat martabatnya, beri mandat kepada HARAPAN dengan tawan kawasan-kawasan parlimennya dan kita angkat Perak sebagai gergasi ekonomi baharu.Perak perlu ikut jejak Selangor dan Pulau Pinang
"Perak harus bangkit bersama Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang diikuti Melaka dan Johor sebagai gergasi ekonomi.
"Rakyat dahagakan pemimpin yang punyai dasar ekonomi jelas, menarik pelaburan dan jangan disamun pemimpin politik yang memperkayakan diri mereka," katanya disambut sorakan penyokong.
0 Comments