MAHKAMAH dijangka akan membuat keputusan berkait pertuduhan rasuah dan subahat berkait pelaburan Felcra terhadap seorang lagi pemimpin Umno dan isteri hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob dijadualkan menyampaikan keputusannya terhadap timbalan ketua menteri Sabah, Bung Mokhtar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad pada 9 pagi.
Bung, 64 berdepan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai suapan mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah dari Ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie, dia juga berdepan pertuduhan menerima rasuah RM337,500 dari Norhaili Ahmad Mokhtar, atas nama Zizie bagi perkara sama.
Zizie, 44, berdepan tiga tuduhan bersubahat dengan Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Pihak pendakwaan sudah memanggil 30 saksi dan mengemukakan 131 eksibit bagi pembuktian kes. Perbicaraan bermula pada 2 Jan 2020 dan berakhir pada 17 Mei tahun ini.
Antara yang memberi keterangan adalah bekas menteri kewangan II, Husni Mohamad Hanadzlah dan bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan (pelaburan) Kementerian Kewangan, Mohmad Isa Hussain.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, berkata terdapat keterangan mengikut keadaan yang tidak dapat ditolak menunjukkan kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu.
Law, bersama Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah dan Sophian Zakaria, berhujah bahawa Madhi dan Norhaili dalam pemeriksaan balas berhubung keterangan percanggahan dan terdapat beberapa kunci keterangan yang boleh dipercayai untuk Bung dan isterinya diperintah membela diri.
Peguam Kitson Foong, berkata pasangan itu akan dibebaskan tanpa perlu pembelaan sekiranya Rozina mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.Apakah mereka akan diarah bela diri atau bebas?
“Mereka bagaimanapun, akan diarahkan membela diri sekiranya hakim memutuskan pendakwaan sudah membuktikan semua elemen berkaitan tuduhan,” katanya.
0 Comments