ROSMAH MANSOR disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu di Mahkamah Tinggi hari ini apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Rosmah.
Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.
Isteri kepada Najib Razak itu pada 18 Feb tahun lalu diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Susulan keputusan itu, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah Mansor.
Jika dia gagal menjelaskan denda itu, dia perlu menjalani tambahan hukuman penjara 30 tahun lagi.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan sementara itu membenarkan permohonan peguam Rosmah agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.
Ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan sebelum ini turut dikekalkan.
Rosmah sementara itu dilapor gagal menahan air mata ketika bercakap di mahkamah hari ini.
Dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta |
Ketika mendengar pendakwaan memohon hukuman penjara yang panjang dan denda yang besar dijatuhkan terhadapnya Rosmah didengar berkata “might as well kill me” ("lebih baik bunuh saja saya").
0 Comments