A KADIR JASIN |Enam puluh lima tahun lalu, saya tenangkan Almarhum nenek (orang Kedah panggil tok) saya yang Jepun tidak akan datang semula apabila Inggeris meninggalkan Malaya.
Nenek gembira negara akan merdeka, walaupun dia tidak tahu apa-apa mengenainya selain orang putih akan keluar dan Tunku Abdul Rahman akan ganti. Tetapi dia bimbang Jepun akan menakluki Malaya semula.
Pada zaman Jepun, orang kampung menderita kekurangan makan pakai akibat kerosakan sistem ekonomi. Rantaian bekalan yang terputus menyebabkan barangan pengguna kurang dan harga naik.
Walaupun kampung kami kecil dan terpencil untuk menarik perhatian pentadbiran Jepun, namun ikut cerita nenek, setiap kali ada khabar angin tentera Jepun akan buat operasi atau lalu di kampung kami, orang perempuan, orang tua dan kanak-kanak akan lari masuk hutan.
Pada tahun 1957 Malaya merdeka. Jepun jadi negara sahabat. Orang kita terus gila kepada Liga Perdana Inggeris.
Selepas Hat Yai dan Makkah, London adalah destinasi wajib bagi yang mampu.
Menjelang ulang tahun kemerdekaan yang ke-65 ini, saya terpaksa yakinkan pula salah seorang anak saya yang saya tidak ambil hati kerana dia sekarang memegang pasport Switzerland. Dia tidak guna pasport Malaysia lagi.
Dia sudah menetap di sana hampir 20 tahun, mempunyai tiga orang anak yang semuanya warganegara Switzerland. Suaminya seorang Swiss berketurunan Jerman.
Dia tidak mahu pening kepala daftar anak-anaknya dengan Kedutaan Malaysia pasal dia tahu hipokrasi dasar kewarganegaraan Malaysia terhadap wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing.
Sebelum berumahtangga, dia bekerja dengan seorang Menteri Hal Ehwal Wanita dari parti Umno. Jadi dia tahu dari jarak dekat.
Malaysia merdeka tetapi tidak semuanya bebas. Kita tidak pernah bebas daripada rasuah.
Alhamdulillah, ulang tahun ke-65 ini, seorang orang kayangan, orang besar negeri, pahlawan Bugis dan bekas Perdana Menteri masuk penjara kerana rasuah.
Biarlah ini menjadi contoh dan teladan bahawa jenayah tidak berbaloi. Crime doesn’t pay.Mari merdekakan negara dari feudalisme baru
Marilah kita jadikan peristiwa ini sebagai pengeras dan penguat semangat dalam perjuangan kita memerdekakan Malaysia daripada rasuah, pengkhianatan, pengkastaan dan feudalisme baru. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
A KADIR JASIN ialah wartawan veteran yang kritis terhadap politik dan isu semasa dalam negara
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia
0 Comments