Keputusan mahkamah keadilan untuk rakyat S'wak - AMK


ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) Sarawak menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Rosmah Mansor dalam kes rasuah semalam sebagai permulaan bagi mengembalikan keadilan untuk rakyat Sarawak.

Ketua AMK Sarawak, Chiew Choon Man melalui satu kenyataan berkata, keputusan tersebut jelas mencerminkan sikap pemimpin politik dan sekutunya yang sanggup menggadaikan nasib rakyat dan generasi akan datang hanya untuk memenuhi nafsu diri mereka.

Golongan itu yang menurutnya tidak memahami nilai amanah, kejujuran dan integriti, mengejar kehidupan mewah melampau sehingga sanggup biarkan anak-anak belajar dalam keadaan yang tidak selesa dan tidak selamat.

"Seperti yang kita sedia maklum, banyak sekolah di Sarawak terutamanya dari kawasan luar bandar berada dalam keadaan yang usang dan kekurangan kelengkapan serta kemudahan asas.

"Menurut KPM masih terdapat sebanyak 351 bangunan sekolah daif di Sarawak. Daripada jumlah ini, sebanyak 107 sekolah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai bangunan yang tidak selamat," kata peguam itu.


Rosmah yang merupakan isteri kepada Najib Razak disabitkan bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Rasuah korbankan masa depan generasi muda
Dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah.

Jika Rosmah gagal membayar denda berkenaan, dia berhadapan hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Hakim sementara itu membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman untuk rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengulas lanjut, Choon Man berkata, keputusan mahkamah itu juga sekali lagi memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia terhadap kebebasan badan kehakiman dan kewibawaan institusi penguat kuasa di negara ini.

"Keadilan dapat ditegakkan pada hari ini adalah hasil daripada sokongan seluruh rakyat Malaysia termasuk rakyat Sarawak yang tidak pernah berlaku dalam sejarah ke atas lambang Parti Keadilan Rakyat," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu pada 23 Ogos,  Mahkamah Persekutuan  mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Post a Comment

0 Comments