Panglima armada barat dedah terpaksa kitar 'aset lama' untuk pertahan negara

WALAUPUN sebahagian besar aset dimiliki tentera laut telah berusia, namun mereka terpaksa melakukan proses “kitar semula” atau memanjangkan hayat kapal sedia ada.

Demikian didedahkan Panglima Armada Barat,  Laksamana Madya Abu Bakar Md Ajis menurut Utusan Malaysia.
 
Abu Bakar berkata, punca kepada masalah itu disebabkan kegagalan tentera laut memperoleh kapal baharu dalam jumlah dikehendaki.

Semakan pihaknya mendapati 75% daripada 44 kapal milik tentera laut ketika ini sudah berusia lebih 40 tahun dengan ada antaranya melebihi 50 tahun.

“Sebagai contoh, kapal peronda laju yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun, dalam erti kata, kapal TLDM sudah lebih usia,” katanya.

Dengan kuantiti aset sedia ada bukan sahaja tidak mencukupi, malah usia sudah lanjut, Abu Bakar mengakui pihaknya memerlukan kapal baharu dengan bilangan mencukupi.

Malah tempo operasi kapal yang panjang kini, ia mengkehendaki tentera laut sentiasa melakukan proses penyelenggaraan kapal "agak berumur" seperti KD Lekir memastikan kesiagaan kapal perang sedia ada berada dalam tahap tertinggi.

"Sebagai contoh KD Lekir yang baru pulang dari Eksesais Lingkaran Pasifik (RIMPAC) perlu melalui proses penyelenggaraan singkat untuk persediaan misi operasi yang lain," tegasnya.

Beliau sementara itu yakin sekiranya pihaknya menerima aset baharu termasuk kapal tempur pesisir (LCS) dan kapal peronda misi pesisir (LMS) peringkat kedua.

“Jika TLDM diberi keupayaan diperlukan, kita yakin akan kemampuan kita untuk mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara, baik di waktu aman mahupun konflik,” kata Abu Bakar.

75% kapal dianggap sebagai aset lama
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) bahawa projek perolehan LCS berdepan masalah walaupun kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM6 bilion.
 
LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019. Namun setelah tiga tahun dari tarikh itu, tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

Post a Comment

0 Comments