Audit forensik terhadap Mitra, Maika, Mied jika HARAPAN kembali jadi K'jaan


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) akan menjalankan  audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan kembali mentadbir negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

"Saya kata penyelewengan banyak telah terbukti, telah dibongkar (dan) perlu ada audit forensik dan juga kalau perlu tubuhkan RCI.

"Ini kerana masyarakat India ini mengeluh tentang pengabaian isu kemiskinan dan peluang kemiskinan yang dihadapi mereka.

"Peruntukan diberikan tapi tidak dikawal dengan baik, ini termasuk Maika Holdings semasa saya (jadi) kementerian kewangan dulu.Tapi (masalah sama) telah berulang di MIED dan Mitra," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Anwar yang juga calon tunggal Perdana Menteri bagi HARAPAN sebelumnya hadir ke Perhimpunan Bersama Masyarakat India anjuran partinya di Shah Alam semalam.

Pada acara itu beberapa pemimpin KEADILAN mendakwa individu-individu yang terlibat dengan penyelewangan Maika Holdings masih tidak dikenakan hukuman manakala siasatan SPRM terhadap isu dana Mitra tidak dibuat secara menyeluruh.

Difahamkan Maika Holding ditubuhkan MIC pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham - kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Maika Holdings berdepan masalah kewangan sehingga gagal memberikan pulangan kepada pelabur yang ada sesetengahnya membuat pinjaman dan menjual aset - selama bertahun-tahun.

Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic) yang dilancarkan pada tahun 2013 Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic kemudian dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra)

Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.

Manakala Naib Presiden KEADILAN K Saraswathi mendakwa MIED bertindak seolah-olah 'along' dengan memaksa para peminjam membayar balik hutang dengan kadar faedah tinggi sekiranya lambat membuat pembayaran.

"MIED seharusnya memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang miskin, bukan memberi hutang.

"Ada kes di mana seorang pelajar berhutang RM12,000 dan telah membayar RM9,000 tetapi tidak mampu menjelaskan bakinya dalam tempoh yang ditetapkan. Dia dipaksa membayar baki dengan kadar faedah pinjaman yang tinggi," dakwanya.

Masyarakat India perlu tahu apa sebenarnya jadi
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa menyambut baik komitmen dinyatakan Anwar untuk menjalankan audit forensik terhada ketiga-tiga syarikat itu.

Jelasnya, skandal seperti Maika Holding berlanjutan lebih 20 tahun dan audit forensik itu perlu diadakan untuk mengetahui apa terjadi kepada wang yang dilaburkan.

"Sama juga seperti Mitra dan MIED. Kita tahu skandal-skandal ini telah dan sedang disiasat oleh SPRM. Tapi, ia (setakat ini) tidak membongkar apa-apa pun," katanya.

Post a Comment

0 Comments