PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa gabungan itu akan memelihara dan meningkatkan kebebasan media di negara ini melalui pembaharuan undang-undang.
Anwar berkata begitu susulan kebimbangan berlaku campur tangan kebebasan akhbar di negara ini yang boleh mengancam demokrasi di negara ini.
"Pertuduhan jenayah yang difailkan terhadap bekas pengarang The Edge, Ahmad Azam Mohd Aris dan juga penggantian mendadak Pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) berikutan dakwaan tekanan yang dikenakan oleh beberapa pemimpin kanan UMNO mengingatkan taktik autoritarian dan pembuli yang digunakan pimpinan BN sebelum PRU14 terhadap pemilik media, editor dan wartawan.
"Saya meminta semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengutuk tindakan ini yang mengancam demokrasi kita.
"Di bawah kepimpinan saya, Pakatan Harapan akan memelihara, melindungi dan meningkatkan kebebasan media melalui pembaharuan undang-undang serta pelaburan dalam pendidikan dan latihan profesional media," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar pada Selasa meluahkan kebimbangan ekoran campur tangan mana-mana parti politik dalam pelantikan editor sesebuah syarikat media.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan kes melibatkan penukaran Pengarang Kumpulan NSTP, Ahmad Lokman Mansor daripada jawatannya, berikutan dakwaan campur tangan mantan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya juga bimbang Ahmad Azam Mohd Aris didakwa melakukan fitnah jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan dua artikel yang diterbitkan semasa beliau menyaksikannya.
“Saya percaya kepingan tersebut adalah perwakilan peristiwa dan pelaporan adil yang berkaitan dengan manipulasi saham sen,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sementara itu tegas Anwar, Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri bertanggungjawab membangkitkan keyakinan terhadap Malaysia.
Ujarnya, ia termasuk keyakinan berhubung profesionalisme agensi penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang serta jaminan untuk melindungi kebebasan akhbar.
Media perlu bergerak bebas tanpa tekanan politik |
Pada masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyatakan sokongan terhadap profesion media atas sumbangan harian yang diberikan ke arah mengukuhkan demokrasi Malaysia.
Di masa hadapan, HARAPAN jelasnya bersedia untuk melabur bagi menyediakan latihan dan pendidikan media secara profesional.
0 Comments