TLDM lancarkan LCS tak siap pada 2017, dedah PAC

LAPORAN Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Kapal Tempur Pesisir (LCS) tercanggih pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pernah dilancarkan pada 2017 sebenarnya dalam keadaan tidak siap.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dipetik laporan media berkata berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus.

"Ketika prosiding, PAC tanya kepada saksi apa sebenarnya penganjuran majlis pelancaran itu sama ada majlis itu kamu memberikan satu persepsi atau gambaran yang mana kapal ini telah siap.

"Dalam gambar (LCS) nampak cantik tetapi sebenarnya ia belum siap. Penjelasan kontraktor dan MINDEF (Kementerian Pertahanan) ialah majlis itu adalah pelancaran (kapal) ke air untuk membuat ujian keseimbangan sama ada okay atau tidak. Kemudian (selepas majlis) kapal itu dimasukkan ke dockyard untuk teruskan pembinaan." katanya.

Hasil siasatan itu beliau berkata bahawa PAC merumuskan bahawa upacara penamaan dan pelancaran LCS terbabit seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal berkenaan sudah siap.

Difahamkan kapal itu dilancarkan di dermaga Boustead Naval Shipyard (BNS) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pad 24 Ogos 2017 dengan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
 

Mengenai 'mast' atau tiang yang dipasang di LCS 1 ketika majlis berkenaan untuk menunjukkan bahawa kapal itu lebih cantik, Kah Woh berkata kos tambahan yang diperlukan untuk tujuan itu sebanyak RM400,000 seperti dinyatakan saksi.

Jelasnya, tiang berkenaan hanya 'olok-olok' yang bukan menjadi sebahagian daripada LCS 1 supaya kapal berkenaan kelihatan lebih 'cantik'.

Tiang 'palsu' berharga RM400,000 dipasang
"Upacara itu hanya untuk show (persembahan). Perhatikan juga 'mast' itu sememangnya dibuat BNS yang merupakan tambahan yang memang bukan sebahagian daripada LCS untuk nampak ia lebih cantik.

"Kemudian 'mast' itu ditanggalkan dan dibawa masuk ke kilang," katanya.

Post a Comment

0 Comments