Tenang-tenanglah dulu Zahid


Oleh: SHAHBUDIN HUSIN  | Dengan maksud yang jelas untuk mendesak serta menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan Parlimen, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan tewas jika PRU15!tidak diadakan dengan segera.

Menurut beliau, melengahkan PRU15 lebih membawa risiko BN ditimpa kekalahan kerana sekarang kedudukan UMNO sedang berada di tahap terkuat dan berpeluang cerah untuk menang.

Tambahnya, apabila dilengahkan lagi ia bermakna memberikan senjata kepada pihak musuh untuk mengalahkan UMNO.

“UMNO sudah lama membuat pendirian tersebut. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti.

“Segerakanlah atau UMNO dan BN akan tewas.

“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Nampaknya di sebalik kes rayuan akhir Najib Razak di Mahkamah Persekutuan bakal menemui titik noktahnya minggu depan di mana setelah permohonan penangguhan dan mengemukakan bukti baru ditolak oleh lima hakim, ditambah dengan pihak pembela mungkin tidak membuat penghujahan yang bermakna lebih mudah kes diselesaikan, Zahid Hamidi jelas semakin bimbang dengan nasib dirinya.

Di mata umum, desakan untuk kesekian kalinya daripada beliau agar disegerakan PRU15 itu tidak lain adalah gambaran kebimbangan dirinya yang tidak terluahkan dengan kata-kata berterus-terang.

Dalam hal ini, bukankah Ismail Sabri sudah berkali-kali menyatakan beliau akan berbincang dengan Top 5 UMNO berhubung penentuan tarikh PRU15?

Jadi, apa yang Zahid Hamidi perlu bimbangkan lagi?

Mengapa perlu beliau membuat gesaan secara terbuka kepada Ismail Sabri dan tidak boleh menunggu untuk bercakap secara berterus-terang kepada Perdana Menteri dalam perbincangan Top 5 UMNO?

Kalau ia pun beliau sebenarnya bimbang jika dilewatkan lagi PRU15 bererti peluangnya bertanding semakin tipis kerana mungkin disabitkan bersalah terlebih dahulu, tenang-tenanglah dulu.

Fikirkanlah sama nasib, masalah dan kesusahan rakyat ketika ini.

Namun, jika bukan itu maksudnya, apakah dengan membuat desakan secara terbuka itu bertujuan memberi gambaran dirinya saja yang memikirkan soal kemenangan BN?

Apakah Zahid Hamidi fikir Ismail Sabri sebagai “poster boy” BN tidak mahu kepada kemenangan?

Dalam kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan “poster boy” BN dengan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang ada 87 kes mahkamah, memanglah kedua-duanya mementingkan kemenangan, cuma kesucian tujuan saja yang berlainan.

Pendek kata, Ismail Sabri juga mahukan kepada kemenangan.

Dalam cubaan mengejar kemenangan, keberkesanan kerajaan dan agar masalah rakyat yang sedang kesusahan diselesaikan sebaik mungkin adalah jauh lebih penting untuk didahulukan.

Oleh itu, menyegerakan PRU15 yang boleh dilihat sebagai cubaan menyelamatkan nasib diri boleh jadi akan memberi kesan lantunan yang akhirnya menikam UMNO dan BN.

Selesai isu rakyat dulu sebelum desak PRU
Sementara rakyat mahu nasib mereka dibantu dan kesukaran hidup diatasi terlebih dahulu, bagi mereka PRU15 awal sebagaimana desakan Zahid Hamidi itu lebih bertujuan menyelamatkan nasib dan tengkuknya semata-mata.

Dengan itu, PRU15 awal bukanlah jaminan mutlak kemenangan boleh digenggam dengan mudah.

Sebaliknya dengan melewatkan sedikit PRU15, tetapi memperbanyakkan program untuk rakyat, kemenangan yang dicari jauh lebih terjamin lagi.

Untuk itu kepada Zahid Hamidi – sabar-sabarlah dulu dan fikirkan sama kesusahan rakyat, jangan fikir nasib diri sendiri saja.



SHAHBUDIN HUSIN ialah penganalisis isu semasa, bekas wartawan di tahun 80an hingga 90an dan juga penulis buku.
 
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian KartelMedia

Post a Comment

0 Comments