Sumpah: Najib main sentimen agama - Mujahid


BEKAS menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof menyatakan rasa kesal atas tindakan Najib Razak membuat sumpah mubahalah (saling laknat melaknati) di Masjid Kampung Baru malam semalam.

Melalui satu kenyataan, Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah berkata, tindakan itu dilihat hanya mempermainkan sentimen agama bagi meraih sokongan penyokongnya selepas pelbagai usaha untuk menangguhkan perbicaraan beliau ditangguhkan, namun gagal.

"Beliau mengumpulkan penyokong beliau bersama untuk menyaksi kan sumpah beliau itu termasuk seorang penceramah agama

"Ia adalah usaha untuk mempermainkan sentimen agama di kalangan penyokongnya sahaja ketika Mahkamah Persekutuan sedang bersidang bagi membicarakan beliau.

"Apakah ini wajah Melayu yang kita inginkan yang boleh dimainkan emosinya dengan sentimen perkauman dan agama yang sempit, Saya bimbang dengan pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib dan penyokongnya," tegas Mujahid.

Semalam Najib yang bakal berdepan prosiding rayuan akhir kes berkaitan SRC International esok membuat sumpah itu bagi menafikan pembabitannya dalam penyelewengan dana.

Difahamkan, ini kali ketiga Ahli Parlimen Pekan itu membuat sumpah bagi menafikan pembabitannya.

Pada 2019, Najib pernah melafazkan sumpah bagi menafikan dakwaan pembabitannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pada 28 Julai 2020 pula, Najib melafazkan sumpah serupa berhubung kes SRC bagi menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.

Dia kemudiannya sekali lagi melafazkan sumpah laknat pada 8 Dis 2021 secara dalam talian bagi menyatakan tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Pada 2019, Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu, Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an".

Dalam Islam, ucapan li'an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi.

Mujahid sementara itu sekali lagi mengingatkan umum, bahawa sumpah dilakukannya Najib itu setelah Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadapnya.

Justeru beliau menggesa supaya rakyat memberi kepercayaan penuh kepada institusi kehakiman negara bagi menentukan nasib Najib.

Rakyat digesa beri kepercayaan kepada Mahkamah


"Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman beliau bersalah dan kini lima hakim Mahkamah Persekutuan pula bersidang untuk menentukan nasib beliau.


"Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua rakyat negara ini, buat masa sekarang berilah kepercayaan kepada Mahkamah Persekutuan pimpinan Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun Tuan Mat) untuk membuat keputusan dengan adil dan berdasarkan bukti dan saksi dalam perbicaraan," kata Mujahid.
 

Post a Comment

0 Comments