Rafizi bakal perincikan kaitan 'isteri menteri' dengan skandal LCS


TIMBALAN Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli bakal memperincikan dakwaan penglibatan seorang isteri seorang menteri dalam skandal pemerolehan kapal tempur pesisir (LCS) hari ini.


Tindakan itu selepas penafian dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad bahawa individu didedahkan Rafizi semalam sebagai isterinya.

Menurut Rafizi, penafian oleh Abdul Latiff semalam berhubung apa yang didedahkannya adalah lemah.

“Beliau hanya menafikan yang Zainab Mohd Salleh bukan isteri beliau dengan merujuk kepada laporan berita yang tular.

“Kebetulan yang tular sebelum itu adalah satu kesilapan seorang netizen yang menuduh ketua pegawai kewangan (CFO) Dialog Berhad sebagai ‘Zainab Mohd Salleh’ yang terlibat dengan skandal ini.

“Zainab Mohd Salleh (LCS) adalah individu yang berlainan. Bila Dr Latiff hanya merujuk kepada ‘berita yang tular’, ada macam-macam kemungkinan maksud kenyataannya, termasuklah dia bukan suami kepada CFO Dialog (kita semua pun tahu),” katanya dalam kenyataan.

Kepincangan dalam perolehan kapal LCS mencuri tumpuan selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak bernilai RM9 bilion.

Sejumlah RM6 bilion dibayar pada 2020. Bagaimanapun tiada satu pun kapal disiapkan selepas lapan tahun projek itu dimulakan pada tahun 2014.

Abdul Latiff ialah timbalan menteri pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Dia meninggalkan Umno selepas pilihan raya umum 2018 dan kemudian menyertai parti Bersatu.

Rafizi dalam pendedahan semalam antaranya berkata, dua syarikat mempunyai nama mirip dengan sebuah syarikat di Perancis telah didaftarkan sebagai Alizes Marine Limited di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan yang didaftarkan di Labuan yang kedua-duanya tidak boleh dijejaki.

Wanita dinamakan sebagai Zainab itu didakwa terlibat dengan kedua-dua syarikat palsu itu yang telah didedahkan dalam pangkalan data dokumen bocor Paradise Papers.

Penafian oleh Abdul Latiff lemah, kata Rafizi
Syarikat itu menurut Rafizi telah dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti kepada projek tersebut dan menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakannya. Tindakan itu telah mengakibatkan sebanyak RM243 juta wang negara diseleweng.

Rafizi sementara itu berkata, muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 laporan siasatan dalaman dijalankan berhubung masalah LCS menyebut “It is noted that Abdul Latiff is the spouse of Zainab” (Siasatan mengambil maklum bahawa Abdul Latiff adalah suami kepada Zainab).

“Yang menggelabah ini hanyalah orang sakau duit rakyat saja. Tunggu esok (Selasa), saya tunjukkan dokumen-dokumen,” katanya.

Post a Comment

0 Comments